Lebih 3,000 pemilik culas perbaharui lesen perniagaan: MBJB

Abdul Malik (kanan) bersama pegawai dan anggotanya ketika menjalankan operasi di sini, hari ini.
Abdul Malik (kanan) bersama pegawai dan anggotanya ketika menjalankan operasi di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedang giat mengesan lebih 3,000 pemilik perniagaan yang culas untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka tahun ini.

Setiausaha MBJB, Abdul Malik Ismail berkata, MBJB mengalami penurunan RM2 juta hasil kutipan pembaharuan lesen pada tahun ini berbanding tahun lepas susulan ramai peniaga tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.

"Kalau kita lihat rekod banyak premis tidak memperbaharui lesen tahun ini dan kita jangka lebih 3,000 pemegang lesen perniagaan.

"Kita yakin kemungkinan jumlah lesen tidak diperbaharui lebih daripada angka itu kerana ekonomi Johor meningkat tetapi hasil menurun.

"Itu isyarat bahawa banyak lesen perniagaan tidak diperbaharui," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Pelesenan Premis Perniagaan di sini hari ini.

Beliau berkata, MBJB menyasarkan kutipan hasil pembaharuan lesen sebanyak RM33 juta pada tahun ini namun setakat bulan lalu, kutipan direkodkan sekitar RM8 juta hingga RM9 juta.

"Kita menyeru pemilik perniagaan segera membuat permohonan lesen atau memperbaharui lesen mereka.

"Kita akan beri kemudahan dan percepatkan pengeluaran lesen syarat-syarat yang boleh disegerakan kita akan bawa kepada jawatankuasa untuk luluskan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai operasi dijalankan, Abdul Malik berkata, hasil pemeriksaan hari ini ada perniagaan dikesan memiliki satu lesen namun mempunyai banyak premis.

"Ini satu kehilangan hasil kepada MBJB. Kita akan keluarkan notis untuk memperbaharui lesen dan kalau berdegil kita akan sita," katanya.

Operasi penguatkuasaan itu disertai 40 pegawai dan anggota termasuk dari unit pelesenan MBJB.