X

Kindly register in order to view this article
!

Buah tin beri Nur Ainaa Herlysa ilham bangunkan jenama Herlysa Vegan

A
A

BENARLAH kata orang, memiliki kemahiran mengukir tidak kiralah sama ada ukiran pada kayu atau papan, jika nilai seninya ada mengukir pada sabun pun boleh menjana pendapatan.

Kemahiran itulah yang dimiliki oleh seorang usahawan muda, Nur Ainaa Herlysa Zainal Abidin yang memiliki 'tangan ajaib' yang berkemahiran dalam ukiran sabun buatan tangan.

Wanita berusia 26 tahun ini memberitahu, aktiviti mengukir sabun buatan tangan pada mulanya dilakukan secara sambilan dan hobi semata-mata.

Namun katanya seperti kata pepatah 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu', daripada hanya sekadar hobi, kemahiran yang dimilikinya itu dijadikan sebagai satu wadah untuk dia menceburi bidang perniagaan seterusnya menjadi seorang usahawan dalam bidang produk kecantikan.

"Alhamdulillah, selain minat saya memiliki kemahiran dan kepakaran kepakaran dalam mencipta pelbagai jenis sabun mandian, losen dan produk yang berkait rapat dengan kecantikan dan penjagaan diri.Oleh itu, dengan bakat yang saya miliki ini, saya cuba memberanikan diri untuk melahirkan jenama produk kecantikan sendiri. Maka lahirlah Herlysa Vegan, sebuah jenama produk kecantikan halal buatan Malaysia," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Nur Ainaa Herlysa berkata, jenama itu dimiliki oleh syarikat yang dikendalikannya iaitu VNI Scientific Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2017.

Jelasnya, VNI Scientific Sdn Bhd semakin maju dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sehingga berjaya mencipta formulasi unggul bagi produk kecantikan berasaskan buah tin.

"Menariknya semua produk keluaran Herlysa Vegan dihasilkan daripada bahan-bahan organik yang mengandungi manfaat seperti vitamin E, aloe vera, witch hazel dan buah tin.

"Kesemua produk Herlysa Vegan bebas bahan kimia terlarang seperti sulfates, paraben, propylene glycol yang boleh merosakkan kulit," katanya yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Industri dari Universiti Lim Kok Wing.

Tambahnya, kejayaan menghasilkan formulasi itu turut berjaya menjadikan Herlysa Vegan sebagai pegeluar produk kecantikan pertama di Malaysia dan Asia menggunakan ekstrak buah tin.

USIA MUDA BUKAN PENGHALANG

Nur Ainaa Herlysa berkata, dirinya tidak pernah menyangka pada usia yang masih muda, dia mampu mengeluarkan tiga jenis produk di bawah jenama Herlysa Vegan pada tahun 2016.

Tiga produk yang berjaya dikeluarkan ialah Double Serum, Hydradubf Face Mist dan Tinted Moiturizer.

"Saya mula serius menceburi bidang perniagaan ini selepas melihat kepada tiada tempat untuk saya meletakkan barang-barangan kecantikan dan penjagaan diri ciptaan saya.

“Pada awalnya saya memang minat mencipta sabun, losen dan sebagainya sebagai hobi. Lama-kelamaan apabila sudah banyak produk saya hasilkan, saya ambil keputusan meletakkannya di vendor.

“Bertitik tolak dari situlah tidak lama kemudian pada tahun 2016 saya sewa sebuah premis untuk meletakkan barang saya. Di situlah barulah saya bertindak untuk melangkah lebih serius dalam bidang perniagaan.

“Ketika itu saya fikir, usia bukan menjadi ukuran. Meskipun usia saya muda, saya fikir ia bukanlah satu halangan untuk pergi jauh dalam bidang ini memandangkan saya meminati bidang kecantikan.

"Kemudian saya fikir, bahawa saya harus mencipta suatu kelainan bagi menaikkan jenama produk kecantikan saya sendiri,” katanya.

Tambahnya, VNI Scientific Sdn Bhd sebelum ini merupakan sebuah syarikat usahawan MARA Negeri Sembilan.

“Bermula dari tahun 2014 sebagai sebuah syarikat enterprise dan kemudian pada tahun 2017 ia dinaiktaraf sebagai sebuah syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd). Malah syarikat ini turut mempunyai kilang pengeluaran sendiri.

“VNI Scientific Sdn Bhd merupakan syarikat pengeluaran yang bertanggungjawab mengeluarkan produk-produk jenama Herlysa Vegan yang mana syarikat ini telah mengeluarkan produk terkini berasaskan buah tin," katanya.

PILIH BUAH TIN

Menurut Nur Ainaa Herlysa, sebelum dia membuat keputusan memilih buah tin sebagai formulasi unggul bagi produk kecantikan jenama Herlysa Vegan, satu kajian menyeluruh telah dilakukan berkaitan kebaikan dan khasiat daripada buah tin.

“Setelah membuat kajian di dalam pasaran, saya mendapati belum ada lagi produk kecantikan yang diformulasikan berasaskan buah tin.

"Maka saya ambil mahu mencabar diri sendiri dengan mengeluarkan satu produk kecantikan bagi memberi kelainan daripada produk kecantikan sedia ada dalam pasaran," katanya.

Jelasnya, buah tin lebih dikenali dengan nama saintifiknya iaitu ficus carica, ia mampu mempercepatkan proses pencerahan tona kulit dengan selamat serta menjadi anti radikal bebas bagi melambatkan proses penuaan.

“Antara kebaikan buah tin dalam kesihatan dan kecantikan ialah mengatasi tekanan darah tinggi; mengurangkan kadar kolesterol dalam badan; mencegah serangan jantung, baik untuk membantu penyakit diabetes, mengatasi masalah tidur; sumber nutrisi yang lengkap dan baik serta dapat membersihkan liang pori yang tersumbat dan mengatasi masalah jerawat," katanya.

KEPAKARAN

Kepakaran Herlysa Vegan adalah dapat membantu mereka yang mengalami masalah kulit jerawat, jeragat, pori-pori terbuka, kusam dan tidak sekata di bahagian wajah.

Nur Ainaa Herlysa berkata, pengguna boleh memilih produk itu tanpa was-was untuk kelihatan cantik semula jadi dan tampil lebih berkeyakinan dan menawan.

“Sejak pengeluaran tiga produk awal iaitu Double Serum, Hydradubf Face Mist dan Tinted Moiturizer, Herlysa Vegan telah berjaya mencatat jualan mencecah RM50,000 hingga RM60,000 pada tahun pertama jualan dan yakin jualan mampu dilipat kali gandakan melihat kepada sambutan yang memberangsangkan,” katanya.

Perancangan masa depan, Nur Ainaa Herlysa merancang untuk mengeluarkan produk kosmetik dan tidak hanya tertumpu kepada produk kecantikan dan penjagaan wajah sahaja.

SOKONGAN KELUARGA

Tanpa sokongan ibu bapa dan keluarga, tidak mungkin Nur Ainaa Herlysa mampu bertapak dan meraih kejayaan dalam bidang yang diceburinya kini.

Katanya, sememangnya sokongan ibu bapa dan keluarga yang tidak berbelah bahagi menjadi pendorong buatnya.

“Mereka menjadi kekuatan dan perangsang untuk saya mengorak langkah jauh ke depan. Tanpa sokongan mereka, tidak mungkin saya mampu berada pada tahap ini.

"Segala penat lelah dan cabaran pada merekalah tempat saya mengadu. Namun berkat kesabaran akhirnya saya mampu menempuh liku-liku dalam menaikkan jenama produk kecantikan sendiri,” katanya yang turut bercadang untuk membuka cawangan pada masa akan datang.