Farhash ditahan bantu siasatan, bukan pesalah: PKR Perak

Keratan berita dari beberapa portal berita tempatan mendedahkan Farhash antara tiga individu ditahan susulan kes penyebaran video intim mengaitkan nama seorang menteri kanan di Johor, semalam.
Keratan berita dari beberapa portal berita tempatan mendedahkan Farhash antara tiga individu ditahan susulan kes penyebaran video intim mengaitkan nama seorang menteri kanan di Johor, semalam.
A
A
A

IPOH - PKR Perak mengesahkan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak merupakan antara tiga lagi individu ditahan polis semalam di Johor berkaitan kes video intim yang mengaitkan nama seorang menteri kanan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran berkata, Farhash yang juga Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan bagi membantu siasatan dan bukan disabitkan sebagai pesalah dalam kes itu.

Menurutnya, PKR Perak sekali lagi menegaskan Farhash bukan tertuduh dalam kes penyebaran video intim yang turut membabitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan tiada kena mengena dengan kes itu.

"Penahanan Farhash tidak akan menjejaskan nama baik PKR Perak kerana ia hanya dianggap proses melancarkan siasatan polis.

"PKR Perak juga melihat Farhash bukan individu dituduh terbabit secara langsung dalam kes video intim tersebut," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Tinagaran berkata, PKR Perak turut menyifatkan tindakan polis menahan beberapa individu didakwa dalang menyebarkan video intim itu dan bukan si pelakunya seolah-olah menghantar mesej salah kepada masyarakat negara ini.

Menurutnya, tindakan sebegini menunjukkan seolah-olah mana-mana kejadian tidak bermoral tidak boleh dilaporkan dan ia boleh mengundang kemarahan rakyat.

"Saya bukan hendak menyokong perbuatan menyebar bahan pornografi, tapi dalam kes ini, video intim berkenaan lebih daripada sekadar sudut pornografi dan saya berpendapat polis tidak menyiasatnya dari sudut yang betul.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat berharap kes siasatan berkaitan video intim berkenaan dijalankan dengan lebih adil untuk semua pihak," katanya kepada Sinar Harian.

Tinagaran berkata, dalam kes seorang Exco kerajaan negeri didakwa merogol pembantu rumah, pihak polis hanya merakam percakapan sahaja dan kemudian dibebaskan tanpa perlu direman.

Menurutnya, Exco berkenaan dibebaskan tanpa perlu direman sedangkan kes itu merupakan kes jenayah seksual.

Beliau berkata, tindakan tersebut memperlihatkan wujudnya sikap pilih kasih dalam siasatan pihak polis.

Dalam perkembangan lain, Tinagaran menegaskan PKR Perak turut menafikan dakwaan konspirasi politik membabitkan Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari kononnya terdapat usaha menjatuhkan pemimpin itu.