Industri buku kembali senyap

A
A

SAYA membaca berita The New Paper, Singapura mengenai dua premis gedung buku MPH di negara itu iaitu di Raffles City dan Parkway Parade yang akan ditutup. Syarikat itu memaklumkan kos sewa yang tinggi merupakan antara sebab mengapa terpaksa menutup operasi dua cawangan mereka.

Saingan daripada pemain e-commerce adalah antara penyebab mereka menamatkan operasi cawangan-cawangan itu.

Menurut mereka, pembaca sudah beralih kepada e-buku di internet atau melupakan untuk membaca buku kerana asyik bersembang di media sosial.

Pada April lalu, gedung buku Kinokuniya menutup cawangannya di Liang Court, Singapura kerana isu sewa beli. Ini diikuti penutupan cawangan kedai buku Popular pada Jun baru-baru ini. Untuk rekod, kedai buku Popular telah beroperasi di Singapura sejak 31 tahun. Kesimpulannya, tiga jenama besar industri buku, MPH, Kinokuniya dan Popular berhempas-pulas untuk hidup.

Dari Basra, Iraq saya membaca berita The Arab Weekly mengenai industri buku di sana yang juga suram. Safa Diab, tuan punya Dar Shahriar Publishing House and Bookshop berkata, mengenai masalah industri buku di negara itu antaranya cabaran penerbitan digital, isu hak cipta, kualiti buku, pembayaran royalti, isu cetak rompak dan minat membaca berkurangan.

Singapura ialah sebuah negara serba moden dan Iraq pula negara selepas perang.

Jika mengambil contoh kedua-dua buah negara ‘maju dan mundur’ itu, bukankah masalah di kedua-dua negara itu sama juga dengan negara kita?

Apa masalah industri buku di negara lain yang tidak dihadapi di negara kita? Saban tahun, kita bercakap mengenai masalah-yang berlaku. Namun, apakah masalah-masalah itu telah diatasi ataupun usaha menyelesaikan masalah itu sedang dilakukan secara konsisten?

Bilakah perjumpaan town hall, persidangan, seminar mahupun forum terakhir diadakan mengenai industri buku? Kita pun dah terlupa.

Seandainya perbincangan, kajian mengenai industri buku dan cabaran-cabarannya diadakan secara celam-celum sebagai topik perbincangan, nampak gayanya kertas kerja yang dibentang bakal tersimpan cantik di dalam fail seminar untuk dijadikan bahan momento si pesertanya.

Jika kita serius hendak mengatasi masalah yang dihadapi industri buku, kita perlu wujudkan big plans with big data yang kemudiannya dilaksanakan bersandarkan maklumat yang diperoleh.

Tindakan perlulah komprehensif dan konsisten. Organisasi perancang dan pelaksananya perlu diwakili oleh setiap komponen pemain industri buku itu sendiri.

Ia perlu diwakili semua seperti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Yayasan Pembangunan Buku Negara, Perpustakaan Negara, Kota Buku, Persatuan Penerbit Buku, Persatuan Pengedar, Persatuan Pencetak, Persatuan Penulis serta Kelab-kelab buku.

Fokusnya hendaklah kepada khalayak pembaca kerana semua buku diterbitkan untuk ditatap oleh para pembaca.

Kenalah fokus with the end in mind iaitu fokus tujuan industri ini iaitu tidak lain dan tidak bukan ialah untuk melahirkan masyarakat membaca oleh para pembaca.

Pihak pemerintah dan badan-badan yang bertanggungjawab dengan dasar perbukuan harus fokus kepada pembaca seperti insentif kepada penerbit seperti meminimumkan cukai kertas, dakwat dan bahan percetakan.

Untuk penulis, skim dana penulis perlu ditambah sebagai insentif kepada golongan ini. Kad diskaun adalah cara efektif sebagai penggalak membeli buku.

Pihak penerbit perlu memberi insentif kepada buku-buku yang melepasi sesuatu target jualan selain daripada royalti.

Skim royalti pula perlu diberikan sekurang-kurangnya tiga kali setahun kepada penulis.

Golongan penulis perlu diberi latihan pemasaran.

Golongan penulis pula perlu menghampiri khalayak pembaca.

Pendek kata, seluruh golongan dalam industri ini perlu riuh agar disedari dan diingati.

Dalam dunia media sosial, pihak paling bising itulah yang paling didengari dan diikuti. Tidak boleh senyap sunyi seperti akhir-akhir ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.