Undi 18 peluang golongan muda sertai sistem demokrasi

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM – Kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun menjadi sejarah untuk rakyat Malaysia kerana ia meluaskan lagi penglibatan anak muda dalam proses demokrasi negara.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pindaan ini amat penting kerana ia satu langkah ke hadapan dalam perkembangan demokrasi Malaysia.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang secara bi-partisan telah meluluskan usul meminda Perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

“Ini adalah satu langkah untuk negara kita berada di fasa ketiga demokrasi. Fasa pertama demokrasi ialah ketika kita mula-mula mengamalkan demokrasi, iaitu selepas kemerdekaan. Fasa kedua pula ialah apabila kita mengukuhkan institusi-institusi demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, pindaan RUU itu juga turut merubah pandangan sarwa dan pendekatan terhadap penghakupayaan anak muda (youth empowerment).

“Definisi penghakupayaan belia ialah ‘anak muda bebas menentukan sendiri keputusan dan tindakan yang berkaitan dengan dirinya, persekitarannya dan masa depannya.’

“Tetapi selama ini, terdapat kekeliruan, manipulasi dan eksploitasi tentang konsep ini. Contohnya apabila perkara-perkara yang bertentangan dengan penghakupayaan belia seperti menyalahgunakan kedudukan atau pertubuhan belia untuk perkara-perkara yang tiada kaitan dengan belia tetapi dikatakan sebagai dilakukan atas nama belia.

“Justeru diharapkan dengan pindaan ini, maka konsep penghakupayaan anak muda akan benar-benar difahami dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Artikel Berkaitan: