Banyak permohonan secara terus selepas Ku Nan jadi menteri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa selepas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pada 2013, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima banyak permohonan daripada pihak pemaju untuk membeli tanah milik DBKL secara 'outright sales’ (jualan terus) yang dikemukakan melalui bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib, 65, ketika membacakan penyataan saksinya berkata penjualan tanah secara 'outright sales' bukanlah satu kebiasaan kepada DBKL.

"'Outright sales' ini bermaksud penjualan tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur secara terhad kepada pihak pemaju untuk projek-projek tertentu umpamanya Projek Rumah Mampu Milik.

"Sebelum ini, konsep pembangunan di atas tanah DBKL adalah melalui konsep Perjanjian Usahasama di antara pihak DBKL dengan pihak pemaju,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan

Pendakwa Raya Julia Ibrahim pada hari ketujuh perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Ahmad Phesal yang kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata bagi mencapai sasaran Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membina sebanyak 80,000 unit Rumah Mampu Milik di Kuala Lumpur, Tengku Adnan mengarahkan supaya DBKL mengenal pasti tanah milik DBKL yang berpotensi untuk didirikan rumah mampu milik tersebut.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata memandangkan penjualan tanah milik DBKL secara 'outright sales' adalah perkara yang baharu pada ketika itu, maka pihak DBKL tidak ada satu Prosedur Operasi Standard (SOP) bertulis untuk tatacara penjualan tanah milik DBKL secara 'outright sales'.

Namun, Ahmad Phesal berkata DBKL melaksanakan 'outright sales' berasaskan kepada apa-apa dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Penjualan secara 'outright sales' boleh memberikan pulangan kepada DBKL dengan lebih cepat kerana pihak DBKL tidak mempunyai tanggungjawab dan obligasi secara langsung ke atas tanah yang dijual selepas pembayaran penuh dibuat oleh pemaju dan pindah milik tanah telah selesai.

"Selain itu, DBKL dapat mengenal pasti syarikat yang membuat pembelian 'outright sales' adalah syarikat yang berkemampuan dan berwibawa serta diyakini boleh menyempurnakan projek mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya yang memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam tempoh tiga tahun bermula 18 Julai 2012.

Menyentuh mengenai prosedur atau amalan penjualan tanah DBKL secara 'outright sales' Ahmad Phesal berkata proses itu bermula dengan permohonan oleh pihak pemaju untuk membeli dan membangunkan mana-mana tanah milik DBKL melalui surat yang telah dihantar oleh pemaju kepada Menteri Wilayah Persekutuan (Tengku Adnan) untuk sokongannya.

Beliau berkata, tanah tersebut dikenal pasti oleh pemaju sendiri melalui carian rasmi yang dibuat oleh pihak pemaju di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG).

"DBKL tidak pernah membuat apa-apa iklan untuk mempelawa mana-mana orang untuk membeli mana-mana tanah milik DBKL,” katanya.

Menjawab soalan peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, sama ada projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RUMAWIP KL) itu adalah satu projek yang berjaya bagi pihak DBKL, Ahmad Phesal menjawab "Saya berpandangan projek itu penting dan berjaya kerana ia dasar kerajaan pada masa itu untuk menjual rumah mampu milik kepada penduduk berpendapatan rendah bawah RM3,000”.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Tan bahawa Tengku Adnan merupakan seorang menteri yang prihatin terhadap keperluan warga kota dengan menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk berpendapatan rendah.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan,

Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. -Bernama