72 syarat dalam EIA didedahkan

Kon Yeow menunjukkan surat keluluasan yang mengandungi 72 syarat pada sidang medianya tadi.
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan 72 syarat yang diberikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam surat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi pembinaan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri diwajibkan melaksanakan langkah mitigasi mengikut nasihat teknikal daripada jabatan berkaitan terutamanya Jabatan Perikanan Malaysia bagi menangani impak projek ke atas sumber perikanan dan komuniti nelayan.

Menurutnya, antara syarat paling sukar untuk dipenuhi adalah 'offset programme' selain ia amat penting dalam permohonan EIA yang dikemukakan kerajaan negeri.

"Program ini adalah untuk kehilangan kekal yang disebabkan projek ini dan ia akan diselaraskan sebagai sebahagian daripada 'Penang Offset Masterplan' antaranya merangkumi tukun tiruan dan peranti agregat perikanan.

"Selain itu, ia juga merangkumi penanaman semula bakau; pelepasan benih ikan, struktur eco-engineering pada lapis lindung pantai dan menyediakan dana bagi kajian serta penyelidikan untuk penyu dan terumbu karang," katanya pada sidang media tadi.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu juga perlu dilaksanakan kajian teknikal terperinci dan perlu mendapatkan ulasan dari Jabatan Teknikal sebelum dilaksanakan.

"Jawatankuasa pelaksana 'Offset Programme' ini perlu melibatkan agensi teknikal berkaitan bagi memantau pelaksanaan program yang dicadangkan dalam EIA. Selain itu, program ini perlu dipantau secara berkala dan diadakan audit bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

"Selain itu, antara langkah mitigasi yang perlu dibuat adalah bagi menangani kesan ke atas komuniti nelayan, mewujudkan 'task force' nelayan dan menyediakan 'exit plan' serta Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN). Bagaimanapun, PPSN ini kita telah laksanakan sejak 2016 lagi," katanya.

Kon Yeow berkata, langkah-langkah mitigasi yang dicadangkan Penggerak Projek dalam laporan EIA didapati telah digunapakai oleh JAS dalam 72 syarat yang diberikan.

"56 daripada 72 syarat tersebut adalah syarat-syarat umum berkaitan projek yang merangkumi pematuhan; penerangan bagi aktiviti yang ditetapkan; konsep dan rekabentuk projek; kawalan pasir darat/sungai; kawalan pengawasan kualiti udara dan air serta kawalan aktiviti pengorekan/pelombongan pasir.

"Syarat 57 hingga 62 adalah khusus berkenaan Plan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang perlu disediakan mengikut format yang ditetapkan JAS. EMP ini perlu dikemukakan kepada JAS Pulau Pinang untuk pertimbangan sebelum projek dimulakan," katanya.

Beliau berkata, kesemua syarat itu akan di muatnaik di laman sesawang Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) untuk bacaan orang ramai.

4 Julai lalu, Kerajaan Pulau Pinang menerima surat kelulusan untuk melaksanakan projek PSR daripada JAS dengan disertakan 72 syarat yang perlu dipenuhi sebelum projek tambakan tersebut dijalankan.

Sementara itu, April lalu, Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan PSR yang disusuli dengan 18 syarat.

Kebanyakkan nasihat berkenaan selaras dengan aspirasi Kerajaan Pulau Pinang menyebabkan ia tidak sukar untuk diterima selain tidak memberi kekangan kepada kerajaan negeri untuk menunaikannya malah dilihat sebagai penambahbaikan usaha yang sedia ada.

Laporan EIA bagi projek PSR dihantar kepada JAS pada pertengahan Jun lalu, selepas ia dibentangkan kepada awam selama sebulan bermula April.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia