Lima entiti SPRM kurang dapat perhatian diaktifkan semula: Latheefa

Latheefa Koya - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

PUTRAJAYA - Lima entiti luar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini kurang mendapat perhatian akan diaktifkan kembali selaras dengan fungsi semak dan imbang suruhanjaya itu dengan sepenuhnya.

Lima entiti berprofil tinggi ini ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JA), Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Sesetengah daripada entiti ini ketika ini 'dormant' (tidak aktif) sementara menunggu pelantikan anggota baharu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata beliau akan berbincang dengan pihak-pihak relevan bagi mengaktifkan kembali entiti itu kerana beliau sendiri tidak punya kuasa untuk melantik anggota.

"Ada yang dalam proses penamaan ahli (sekarang).... tetapi (pelantikan) di luar (kuasa) saya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa fitnah boleh ambil tindakan

Kuasa pelantikan sesetengahnya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri dan sesetengah yang lain memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong, katanya.

Anggota entiti ini dipilih dari kalangan individu terbilang dan disegani.

Latheefa mengakui pentingnya entiti ini demi menjamin SPRM dapat melaksakan tugas dengan berkesan, bebas dan profesional. -Bernama