'Kenyataan Mukhriz kelirukan rakyat, ahli komponen'

Laporan Sinar Harian semalam. (Gambar kecil, Lee Chean Chung)
A
A

KUANTAN - Pelawaan dan cadangan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa Pakatan Harapan (PH) sedia membuka pintu kerjasama dengan Pas hanya akan mengelirukan rakyat dan ahli parti komponen.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, sepatutnya perkara tersebut dibicarakan dalam meja rundingan bersama Majlis Presiden terlebih dahulu berbanding disebut secara terbuka.

"Kita sudah ada cukup majoriti dalam kerajaan dan boleh jalankan kerja menerajui kerajaan dengan baik. Saya tak faham kenapa beliau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan sebegitu.

"Ketika parti komponen PH merangka manifesto, ia mengambil pandangan daripada rakan-rakan dalam PH. Tak semestinya Pas akan setuju dengan manifesto yang dirangka PH. Landasannya tidak selari dengan Pas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang Indera Mahkota di sini hari ini.

Chean Chung (empat dari kanan) bersama jurulatih PDK Kompleks Penyayang.
Chean Chung (empat dari kanan) bersama jurulatih PDK Kompleks Penyayang.

Menurutnya, cadangan itu bukan sahaja tidak munasabah malah lebih malang ia mengelirukan parti komponen PH, Keadilan, DAP dan Amanah yang dahulunya pecahan daripada Pas.

"Lagipun saya nampak Pas sedang berbulan madu dengan UMNO dan cadangan sebegini dari beliau adalah tidak patut. Kenyataan itu mengelirukan rakyat yang mahukan kita menjalankan kerja-kerja membantu mereka," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Mukhriz berkata, PH sedia membuka pintu kerjasama kepada Pas untuk menjadi sebahagian daripada komponen mereka dan perkara tersebut adalah hal yang baik jika parti berkenaan dapat mempertimbangkannya.

Perkara tersebut turut disokong seorang lagi Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang melihat parti itu tidak mempunyai sebarang masalah jika Pas bekerjasama dengan PH walaupun pernah bermusuhan ketika pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, ahli dan pimpinan Pas serta Barisan Nasional (BN) disarankan tidak terlalu memikirkan perbezaan politik sebaliknya fokus berganding bahu dalam menerajui negara ke arah yang lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia