MBJB kesan 61,000 pegangan gagal bayar tunggakan cukai harta

Muhammad Iqbal
Muhammad Iqbal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 61,000 pegangan dikesan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) gagal untuk menjelaskan tunggakan cukai harta yang melibatkan nilai lebih RM90 juta sepanjang tahun lalu.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB, Muhammad Iqbal Arami Mohamed Sharif berkata, jumlah pegangan itu adalah merangkumi 14,000 pemilik harta perniagaan dan 47,000 kediaman.

"Secara keseluruhan tunggakan cukai harta bagi tahun ini adalah sebanyak RM120 juta iaitu membabitkan 87,000 pemilik harta termasuk pegangan bangunan komersial dan premis kediaman.

"Bagaimanapun, sejak Januari sehingga kini, kita telah berjaya mengutip RM25.2 juta daripada 26,000 pegangan di kawasan pentadbiran MBJB. Kita akan terus jalankan operasi dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengikuti salah satu operasi penyitaan di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Muhammad Iqbal berkata, usaha berterusan itu juga untuk memastikan sasaran MBJB pada tahun ini yang menetapkan sekurang-kurangnya RM30 juta tunggakan cukai boleh dikutip.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBJB juga telah mengeluarkan 26,000 surat peringatan berhubung tunggakan cukai harta kepada pegangan bangunan perniagaan dan kediaman.

"Pihak kami menasihatkan agar pemilik atau pemegang harta ini tampil menjelaskan cukai yang tertunggak sebelum pihak kita mengambil tindakan tegas termasuk menyita barangan serta bangunan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: