Ahmad Badri tak mahu kenyataan kepada PAC disalah tafsir

Ahmad Badri Mohd Zahir
Ahmad Badri Mohd Zahir
A
A
A

PUTRAJAYA - "Saya sama sekali tidak mahu sebarang laporan media oleh pihak tertentu mengenai Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) disalah tafsir yang boleh menimbulkan salah faham atau persoalan awam mengenai hubungan saya dengan Menteri Kewangan."

Demikian penjelasan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir berhubung kenyataannya kepada PAC bahawa beliau tidak percaya wang bernilai RM19.4 bilion yang lewat dipulangkan itu sebenarnya dicuri.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan kepada PAC pada 16 Oktober 2018 sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, sama ada beliau percaya dana tersebut itu dicuri atau disalah guna.

Bagaimanapun, Ahmad Badri menjelaskan, beliau bersependapat dengan rumusan Laporan PAC bahawa sungguhpun tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST, ianya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

"Saya juga menyokong rumusan PAC bahawa kerajaan sebelum ini telah memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu dan kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan dan seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

ARTIKEL BERKAITAN: Kutipan hasil GST tidak hilang: PAC

"Ini adalah tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014 seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa di Parlimen, sebanyak RM19.47 bilion daripada kutipan GST yang sepatutnya dipulangkan tetapi sebaliknya dirompak oleh kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Badri berkata, beliau memberikan sokongan penuh ke atas usaha Guan Eng untuk memastikan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion dikembalikan kepada syarikat yang membuat tuntutan dan telah melalui proses verifikasi Jabatan Kastam seperti Petronas, Shell dan Tenaga Nasional Bhd.

"Sejak dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada tahun lepas, saya mempunyai hubungan baik dan memberi kerjasama penuh kepada Menteri Kewangan dan turut serta dalam pelbagai tugas rasmi di luar negara dan yang terkini adalah lawatan kerja ke Republik Rakyat China pada awal bulan Julai 2019.

"Saya menghargai keterbukaan Menteri Kewangan untuk mendengar semua idea dan menghormati perbezaan pandangan dalam mencapai keputusan yang terbaik bagi mencapai visi Menteri Kewangan ke arah urustadbir CAT – Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, dengan usaha bersungguh-sungguh itu dan semangat berpasukan, Kementerian Kewangan juga telah berjaya meyakinkan agensi penarafan kredit untuk mengekalkan taraf kredit antarabangsa Malaysia pada tahap A- atau A3.

"Kerajaan juga mengendalikan hutang dan liabiliti negara yang mencecah RM1 trilion dan menjayakan terbitan bon dengan lancar seperti bon samurai sebanyak 200 bilion yen pada awal tahun ini," ujar beliau.