Rozan tidak berikan gambaran tepat

P Prabakaran
P Prabakaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menjelaskan beliau tidak pernah melantik Rozan Azen Mat Rasip sebagai setiausaha beliau, sebaliknya Rozan diamanahkan sebagai penyelaras Adun bagi pejabat Parlimen Batu.

Menerusi satu surat balas berhubung perletakan jawatan Rozan yang dimuat naik di Facebook beliau malam tadi, Prabakaran berkata, beliau telah meluluskan perletakan jawatan berkenaan setelah mengambil kira kepentingan rakyat dan menghormati hak Rozan dalam membuat keputusan.

Namun, beliau mempertahankan bahawa alasan yang diberikan Rozan tidak memberi gambaran yang sebenar dan beliau turut membuat teguran terhadap sikap Rozan.

"Segala permasalahan dan alasan yang saudara nyatakan adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali.

"Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk memberi pandangan dan teguran agar saudara mengetepikan sikap yang keterlaluan. Bersikap mesra dan berhemah serta menghormati rakyat semasa melaksanakan tugas harian hendaklah diutamakan.

"Nasihat ini perlulah saudara mengambil kira sekiranya saudara bercita-cita untuk menjadi seorang pemimpin yang dihormati rakyat," katanya dalam surat berkenaan.

Beliau turut mengingatkan Rozan berhubung saranan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatan Rozan.

"Pesanan dan saranan Anwar Ibrahim juga mengingatkan kita agar apa-apa perbalahan sama ada antara atau dalam parti harus dihentikan serta dielakkan dari mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang negatif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rozan dalam satu kenyataan kelmarin mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai setiausaha Prabakaran di atas sebab tiada lagi kesefahaman dan juga faktor campur tangan pihak berkepentingan yang menjejaskan kerja-kerja harian.