Istana keluar kenyataan isu gelaran Permaisuri Kelantan

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Kelantan pagi ini.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Kelantan pagi ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas hampir lapan bulan, Istana Kelantan akhirnya memecah kebisuan berhubung khabar angin melibatkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Menerusi satu kenyataan awal pagi tadi, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, tiada sesiapa boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan atau Raja Perempuan Kelantan tanpa pengumuman rasmi Istana Kelantan.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada sesiapa pun boleh digelar Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi Istana Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rihana Oksana dicerai talak tiga?

"Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra ialah Tengku Mahkota Kelantan dan bonda Sultan Muhammad V, Yang Maha Mulia Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid digelar Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis," katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.

Beliau menegaskan hanya pengumuman rasmi daripada Istana Kelantan yang boleh diambil kira sebagai berita yang tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat dan pengamal media.

"Pihak Istana menyeru supaya rakyat dan pengamal media tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih di media sosial," katanya.

Semalam sebuah portal berita melaporkan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko, 26, sah diceraikan talak tiga oleh Sultan Muhammad V.

Artikel Berkaitan:

Menurut sijil perceraian yang dipercayai didaftarkan 1 Julai lalu selepas proses perceraian Rihana bertarikh 22 Jun di Singapura.

Sijil perceraian yang dilengkapi dengan nombor siri itu turut menyatakan perceraian itu sudah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

Model jelita yang dinobatkan sebagai Ratu Moscow 2015 itu dipercayai melangsungkan perkahwinan pada November 2018, lapor portal berita berpusat di United Kingdom, Daily Mail.

Sementara itu, media Moscow yang turut dipetik Daily Mail melaporkan perkahwinan Rihana bergolak pada 24 Januari lalu.

Dalam pada itu, beberapa sumber turut mempertikaikan hantaran Instagram Rihana sejak kebelakangan ini.

Ini kerana hantaran Instagram yang menceritakan kisah-kisah kehidupannya tidak disertakan bersama gambar-gambar baharu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.