Berbeza umur belia bukan halangan untuk kerjasama

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak menjangkakan dapat terus bekerjasama baik dengan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat pusat bagi membangunkan belia di negeri ini walaupun keduanya ada perbezaan dari segi penetapan umur bagi belia.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini selepas umur belia di peringkat pusat akan diturunkan dari usia antara 15 tahun dan 30 tahun, manakala bagi Sarawak ia mungkin kekal antara usia 15 dan 40 tahun.

“Ini (perbezaan umur belia) bukan bererti kita tidak dapat menjalinkan kerjasama yang baik. Kami akan terus mempunyai kerjasama dan perhubungan yang baik dengan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat pusat dan agensi di bawahnya,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Sarawak Convention Bureau (SCB) dan The Malaysian Association Of Convention And Exhibition Organisers And Supliers (MACEOS), di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kerjasama baik yang akan diteruskan kedua kementerian ialah penganjuran acara sukan bagi golongan belia termasuk kepada belia di kawasan luar bandar negeri ini dan juga kerjasama membangunkan pelbagai kemudahan sukan kepada mereka.

Katanya Sarawak juga mempunyai pandangan dan sebab tersendiri perlu mengekalkan ketetapan umur belia, antaranya ialah dalam pelbagai program bantuan belia tempatan sebelum ini, ia banyak dimanfaatkan oleh mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

“Ini seperti bantuan untuk belia terlibat dalam pertanian, belia yang mahu menjadi usahawan muda dan banyak bantuan-bantuan sebegini diberikan kepada mereka dibawah usia 40 tahun sebelum ini, jadi kalau kita letak (had umur belia kepada) 30 tahun maka ramai yang akan tidak dapat dibantu,” katanya.

Beliau berkata bagi Sarawak umur golongan belia sekitar 30an adalah umur bagi kebanyakkan mereka baharu sahaja berkahwin dan mempunyai anak dan mula menceburi bidang perniagaan dan mereka ini tidak akan dapat dibantu sekiranya melepasi had umur belia pada usia 30 tahun.

Abdul Karim berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghormati pendirian kerajaan Sarawak mahu menjalankan kajian terperinci mengenai keputusan menurunkan had umur belia dari 40 tahun ke 30 tahun.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq dilaporkan berkata ini kerana pindaan umur itu hanya membabitkan persatuan berdaftar dibawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) selepas beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, hari ini. - Bernama