Misi Chandrayaan-2 dibatalkan pada saat akhir

Roket gergasi, Geosynchronous Satellite Launch Vehicle Mark III (GSLV Mk-III) itu membawa robot pendarat, Vikram dan kenderaan perayau, Pragyan.
Roket gergasi, Geosynchronous Satellite Launch Vehicle Mark III (GSLV Mk-III) itu membawa robot pendarat, Vikram dan kenderaan perayau, Pragyan.
A
A
A

NEW DELHI - Pelancaran misi kedua India ke bulan terpaksa dibatalkan kurang sejam sebelum ia dijadualkan berlepas dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota, Andhra Pradesh di pantai timur negara itu pada jam 2.51 pagi (waktu tempatan) awal pagi tadi.

Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) memaklumkan countdown tersebut terhenti pada 56 minit dan 24 saat selepas gangguan teknikal dikenal pasti dalam sistem pelancaran kenderaan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pelancaran Chandrayaan-2 perlu ditangguhkan. Tarikh baharu pelancaran yang disemak semula akan diumumkan kemudian,” kata ISRO dalam satu kenyataan tanpa memberikan sebarang butiran tentang isu teknikal itu.

Pada asalnya, pendaratan kapal angkasa itu adalah dijadualkan pada 6 September depan.

Orang ramai termasuk kanak-kanak sekolah yang berkumpul untuk menyaksikan pelancaran itu juga kecewa dengan pembatalan tersebut.

India berharap misi Chandrayaan-2 menggunakan roket gergasi, Geosynchronous Satellite Launch Vehicle Mark III (GSLV Mk-III) dan menelan kos AS$150 juta (RM616 juta) itu akan menjadi kapal angkasa pertama mendarat di kutub selatan bulan.

Ia akan memberi tumpuan kepada permukaan bulan, mencari air dan mineral serta mengukur gempa pada bulan.

Jika misi itu berjaya, India akan menjadi negara keempat melakukan pendaratan sempurna pada permukaan bulan selepas Amerika Syarikat, China dan bekas Kesatuan Soviet.

Artikel Berkaitan:

Ketua ISRO, K Sivan memberitahu ia adalah misi angkasa paling kompleks pernah dilakukan agensi tersebut.

Misi itu akan membawa pengorbit yang akan mengelilingi bulan selama setahun.

Ia turut membawa robot pendarat dinamakan Vikram sempena nama Vikram A Sarabhai yang merupakan bapa program angkasa di negara itu.

Selain itu, ia juga membawa kenderaan perayau, Pragyan bermaksud 'kebijaksanaan' dalam bahasa Sanskrit yang akan melakukan tinjauan sejauh 500 meter daripada robot pendarat untuk mengkaji komposisi permukaan bulan selama sehari yang bersamaan 14 hari di bumi.

Pada 2008, misi pertama ke bulan, Chandrayaan-1 dilaporkan tidak mendarat pada permukaan bulan, namun ia menjalankan penyelidikan pertama mencari sumber air dengan radar. - AFP