BAJC: Cabaran skuad negara berakhir pada suku akhir

Eogene tewas kepada Wongssup dalam aksi suku akhir BAJC 2023 bagi kategori berpasukan di Yogyakarta pada Isnin. - Foto Facebook BAM
Eogene tewas kepada Wongssup dalam aksi suku akhir BAJC 2023 bagi kategori berpasukan di Yogyakarta pada Isnin. - Foto Facebook BAM
A
A
A

PENGEMBARAAN skuad negara dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023 (BAJC 2023) bagi kategori berpasukan terhenti di suku akhir setelah tumpas 0-3 kepada Thailand di Yogyakarta, Indonesia pada Isnin.

Malaysia mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir selepas melakar tiga kemenangan tanpa kalah dalam saingan Kumpulan C bertemu Hong Kong, Bangladesh dan India.

Saingan bermula dengan acara beregu campuran menerusi gandingan Low Han Chen-Chong Jie Yu yang diharapkan mampu menyumbang mata pertama dalam aksi yang berlangsung di Dewan Sukan Among Rogo itu.

Pasangan negara bagaimanapun tewas straight set kepada Meechai Tanakorn-Korpthammakit Fungfa 20-22, 16-21.

Harapan kem negara kemudian disandarkan kepada pemain perseorangan lelaki, Eogene Ewe yang dilihat hampir mengutip mata penyamaan apabila menang pada set pertama 21-17 ke atas Wongssup-In Wongsup.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Eogene apabila tewas set kedua dan permainan penentuan 17-21 dan 17-21.

Peluang untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke aksi keempat tidak kesampaian selepas pemain perseorangan wanita, Ung Yi Xing turut kalah kepada Saranporn Sombutwatthananukool 15-21, 9-21.

Bagaimanapun, kemaraan kali ini lebih baik berbanding pencapaian skuad negara dalam edisi di Suzhou, China pada 2019 yang terkandas di peringkat kumpulan setelah tumpas kepada Jepun dan Indonesia.

Sebagai rekod, kejohanan itu dianjurkan semula selepas tertangguh selama tiga tahun dari 2020 hingga 2022 ekoran pandemik Covid-19.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara acara berpasukan Remaja Asia adalah pada 2009 ketika menjadi tuan rumah.

Skuad negara akan meneruskan perjuangan bagi kategori individu yang akan membuka tirai saingan bermula Rabu hingga 16 Julai ini.