15 kes malaria dikesan di dua kampung orang asli

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 15 kes malaria dikenal pasti di dua perkampungan orang asli iaitu di Kampung Pagar dan Kampung Serdang Kuala Lipis, Pahang sejak Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada awalnya sebanyak empat kes disahkan malaria dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Lipis dari Klinik Kesihatan Betau melibatkan kanak-kanak orang asli berumur empat hingga 10 tahun dari kedua-dua kampung tersebut.

Menurutnya, rentetan itu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengaktifkan Bilik Gerakan Wabak dan aktiviti kawalan serta tindakan pengesanan kes (Active Case Detection) dilaksanakan oleh Pasukan PKD Kuala Lipis di Kampung Pagar dan Kampung Serdang pada Jumaat.

"Sejumlah 393 slaid darah telah diambil dari penduduk di kedua-dua kampung tersebut untuk ujian mikroskopi. Hasil pemeriksaan awal slaid tersebut, pihak PKD telah menemui 11 kes lagi jangkitan malaria di Kampung Serdang.

"Bermula dari 11 Julai hingga 15 Julai 2019 (hari ini), telah terdapat 15 kes dilaporkan daripada dua kampung ini. Kesemua kes telah didiagnosa mengalami malaria jangkitan plasmodium vivax dan telah dimasukkan ke hospital untuk diberi rawatan serta dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, punca jangkitan sedang disiasat oleh PKD Kuala Lipis kerana kawasan tersebut tidak melaporkan kes malaria sejak lapan tahun lepas, di mana kes terakhir dilaporkan pada tahun 2011.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Kesihatan sedang memantau kejadian kluster kes malaria ini dan kerjasama daripada masyarakat awam amat diperlukan bagi memastikan kejadian jangkitan penyakit malaria ini dapat dikawal sebaiknya.

"Pihak PKD juga telah menjalankan aktiviti kawalan malaria dengan menjalankan aktiviti semburan racun serangga pada dinding dan edaran kelambu berubat di lokaliti terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk di lokaliti tersebut telah diberi pendidikan kesihatan termasuk mengambil langkah pencegahan jangkitan dengan mengenakan pakaian menutupi anggota badan dan elak dari melakukan aktiviti berhampiran kawasan hutan pada waktu malam," katanya.