Tuduhan rasuah Exco: PKR serah kepada SPRM

Anwar menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Pejabat Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka di Melaka hari ini.
Anwar menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Pejabat Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka di Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan rasuah membabitkan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang maklumat lanjut daripada pihak yang melaporkan mahupun Exco itu sendiri.

"YB Yunus adalah aktivis PKR dari awal dan menjalankan tugas sebagai Exco Perak. Jadi saya dimaklumkan oleh media tentang perkara ini.

"Oleh kerana laporan telah dibuat, kita serahkan kepada SPRM. Ia kerana terdapat dua isu iaitu membabitkan tuduhan rasuah dan soal kebocoran maklumat mesyuarat," katanya selepas merasmikan Pejabat Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Melaka di Pusat Niaga Gangsa, Durian Tunggal, di sini hari ini.

Semalam, bekas Pegawai Khas kepada Abdul Yunus, Beh Yong Kean membuat laporan polis mendakwa Exco berkenaan telah membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak bagi mendapatkan komisen daripada dua buah syarikat pertanian.

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas Exco terbabit bersetuju menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua syarikat berkenaan.

Bagaimanapun Abdul Yunus dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa wujud konspirasi jahat terhadapnya kerana pendiriannya menyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti yang lalu.

Sementara itu, Anwar turut mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengenai dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri telah dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Beliau menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis.

"Saya baca kenyataan Ketua Polis Negara itu. Jadi kita tunggulah laporan lanjut kedua-dua isu sama ada video itu benar, bukan rekaan, siapa yang mendalangi, siapa yang sebarkan.

"Pastinya semua itu di dalam siasatan polis, tidak payahlah kita buat tekaan yang terlalu banyak," katanya.