Pemandu langgar lari diburu

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Polis sedang mengesan pemandu kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran JGU 5353 yang dipercayai melarikan diri selepas merempuh sebuah motosikal di Kilometer 11.8 Jalan Lukut - Sepang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu mengakibatkan penunggang motosikal M Anandan berusia 28 tahun maut.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Lukut menghala ke Sepang.

"Namun pemandu Proton Waja dari arah bertentangan masuk ke laluan mangsa lalu merempuh motosikalnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan Penolong Pegawai Perubatan, manakala pemandu Proton Waja melarikan diri selepas kemalangan.

"Polis menemui kereta berkenaan ditinggalkan di tepi kedai makan di kawasan Ambang Kota dan semakan mendapati kereta itu didaftarkan atas nama Ting Ting Ming yang beralamat di Kampung Baru di Sepang, Selangor.

"Usaha untuk mengesan pemandu kereta Waja semasa kejadian sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Aidi Sham berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Raja Nor Hafizah Raja Arifin di talian 013-5388403.

Artikel Berkaitan: