Ummah sokong kekal Akta Hasutan 1948

AMINUDDIN
AMINUDDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menyokong usaha kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 sepertimana yang dipertahankan gerakan tersebut sebelum ini.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, akta tersebut penting kerana ia mempertahankan institusi diraja, hak Bumiputera dan agama Islam.

“Kita mempertahankan Akta Hasutan sejak dahulu lagi. Jika kita hapuskan Akta Hasutan itu, bermakna sesiapa sahaja boleh menghina raja, menghina Islam dan mempertikaikan hak-hak Bumiputera,” katanya kepada media selepas program Ijtimak Ulamak dan Daie Ummah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengekalan Akta Hasutan 1948 yang diumumkan Peguam Negara, semalam.

Semalam, media melaporkan kerajaan akan terus menggunakan Akta Hasutan 1948 dalam kes bersesuaian untuk mendakwa mereka yang menyalahgunakan kebebasan bersuara.

Perkara itu ditegaskan Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa peningkatan jumlah ucapan-ucapan berunsur kebencian terutama dalam talian terhadap kaum, agama dan institusi diraja di dalam masyarakat Malaysia yang majmuk bermakna kebebasan bersuara telah disalahgunakan.

Jelasnya, cabaran bagi Jabatan Peguam Negara adalah untuk mengimbangi kebebasan bersuara yang semakin luas selepas PRU14 dan tersebarnya ucapan-ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat.

Katanya, Akta Hasutan antara akta Parlimen yang mahu dimansuhkan mengikut manifesto PRU14 Pakatan Harapan, namun Jabatan Peguam Negara tidak menerima makluman daripada jemaah menteri berhubung apa-apa keputusan untuk memansuhkan atau meminda akta tersebut.

Artikel Berkaitan: