FMM gesa butiran lebih perinci kenaikan tarif gas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa maklumat yang lebih terperinci mengenai mekanisme penentuan harga gas asli pada 2020 memandangkan ia merupakan satu kebimbangan utama kepada industri.

Presiden FMM Datuk Soh Thian Lai dalam satu kenyataan hari ini berkata persekutuan itu akan meminta penjelasan lebih lanjut daripada pihak berkuasa mengenai terma dan syarat perjanjian pembekalan gas baharu dan kemasukan pembekal gas berlesen lain memandangkan liberalisasi pasaran gas dengan pelaksanaan sistem Akses Pihak Ketiga pada 2020.

"Industri berpendapat bahawa liberalisasi tidak sepatutnya menjadi begitu sehingga pelanggan perlu terikat dengan terma kontrak yang panjang," katanya.

Soh berkata kenaikan tarif gas asli sebanyak 5.3 peratus berkuatkuasa 15 Julai, 2019 berikutan ketidaktentuan ekonomi adalah punca utama kebimbangan dalam kalangan pengeluar terutamanya bagi industri berintensifkan gas seperti besi dan keluli, sarung tangan getah, produk berasaskan kimia dan beberapa sektor produk mineral bukan logam seperti aluminium dan seramik.

"Memburukkan lagi keadaan ialah pemberitahuan singkat selama dua hari sahaja walaupun gesaan berterusan oleh FMM agar pengumuman dibuat awal dua bulan mengenai semakan semula kadar tersebut yang dilakukan setiap enam bulan," katanya.

FMM juga menekankan bahawa surcaj Kos Gas untuk Dilepaskan (GCPT) yang dilaksanakan sebanyak RM1.74 per juta unit terma British (MMBtu) akan mengakibatkan anggaran kos tambahan sebanyak RM188,000 bagi setiap pelanggan perindustrian secara purata sepanjang 2019, berdasarkan jumlah pelanggan industri Gas Malaysia Bhd dan jumlah jualan pada 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: