Kes Wan Ji: Tommy tak sedar rayuan balas pendakwaan

Tommy Thomas (kiri) dan Wan Ji
Tommy Thomas (kiri) dan Wan Ji
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan pihaknya tidak menyedari rayuan balas oleh pihak pendakwaan dalam kes rayuan terhadap sabitan dan hukuman penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Menerusi kenyataannya, Tommy berkata, berdasarkan kronologi, rayuan balas pendakwaaan dibuat sebelum PRU14 lalu.

"Saya secara peribadi tidak menyedari kes ini sehinggalah Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan Selasa lalu," katanya.

Menurutnya, perkara itu (tidak sedari kes berkenaan) adalah tidak menghairankan kerana terdapat ratusan kes jenayah dan sivil di seluruh negara.

"Adalah mustahil untuk mengetahui kes tersebut, " katanya yang turut mendedahkan, pihaknya tidak menerima sebarang representasi daripada peguam yang mewakili Wan Ji.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti pilihan yang ada berhubung rayuan Wan Ji di Mahkamah Rayuan.

"Namun mengambil kira sabitan Wan Ji di dua mahkamah sebelum ini, kuasa budi bicara dari pihaknya sangat terhad," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wan Ji dibenar tangguh hukuman penjara

Artikel Berkaitan:

Tommy berkata, kes Wan Ji sekali lagi memberi tumpuan kepada penggunaan Akta Hasutan 1948, dan penyebaran maklumat salah mengenai akta tersebut.

"Faktanya adalah seperti berikut, Akta Hasutan adalah antara Akta Parlimen yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan akan dimansuhkan, Kabinet belum memaklumkan kepada pihaknya sebarang keputusan untuk memansuhkan atau memindanya," katanya.

Menurutnya, bawah sistem pemerintahan, Kabinet yang memutuskan bagi pihak Eksekutif, sama ada untuk menguatkuasakan, memansuhkan atau meminda undang-undang.

"Jabatan Peguam Negara akan membantu dalam merangka undang-undang baru," katanya.

Selain itu, fakta ketiga adalah Kabinet tidak mengarahkan pihaknya untuk tidak bergantung kepada Akta Hasutan.

"Arahan seperti itu tidak akan, dalam apa keadaan, menjadi sah kerana ia akan menyinggung kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan terhadap Peguam Negara untuk memutuskan perkara-perkara pendakwaan bagi pihak negara," katanya.

Pada 9 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abdul Halim Aman menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman Wan Ji.

Malah, hukuman sembilan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 9 April 2018 telah dipinda kepada setahun setelah mempertimbangkan rayuan silang oleh pihak pendakwaan.

Sejurus selepas itu, beberapa pihak termasuk peguam, Syahredzan Johan mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan membuat rayuan silang dalam kes itu

Wan Ji dihantar ke Penjara Kajang sebelum mahkamah sama hari ini membenarkan permohonan perlaksanaan hukuman tersebut.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, jam 10 pagi, pada 5 November 2012.