Wan Ji dibenar tangguh hukuman penjara

Keputusan tangguh hukuman Wan Ji dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman selepas mendengar permohonan penangguhan hukuman itu hari ini.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Setelah dua hari menjalani hukuman penjara, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dibenar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam menangguhkan hukuman penjara setahun kerana menghasut terhadap Sultan Selangor.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintah terma-terma di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dilanjutkan.

"Saya izinkan permohonan peguam bela. Syarat-syarat sepertimana yang dinyatakan diteruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Sultan Selangor: Wan Ji ke penjara

"Perintah terhadap pasport diteruskan dan sekiranya tiada passport, kamu dilarang ke luar negara," katanya.

Terdahulu sebelum membuat keputusan itu, Abdul Halim Aman bertanyakan salah satu alasan yg dikemukakan oleh Wan Ji iaitu mempunyai merit kukuh dalam permohonan tersebut.

"Kamu yakin untuk menang kes ini? soalnya.

Peguam, Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili Wan Ji kemudiannya membalas:

"InsyaALLAH," katanya.

Selasa lalu, Wan Ji dihantar ke Penjara Kajang selepas mahkamah sama menolak permohonan sabitan dan hukuman sembilan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, jam 10 pagi, pada 5 November 2012.