Pertaruh nyawa guna jambatan uzur

Md Isa menunjukkan bahagian jambatan yang dipateri bagi membolehkan penduduk terus menggunakan jambatan berkenaan.
Md Isa menunjukkan bahagian jambatan yang dipateri bagi membolehkan penduduk terus menggunakan jambatan berkenaan.
A
A
A

POKOK SENA - Lebih 500 orang penduduk Kampung Empa, di sini terpaksa mempertaruhkan nyawa menggunakan jambatan besi yang uzur sejak 10 tahun lalu.

Jambatan sepanjang kira-kira 100 meter berusia lebih 25 tahun itu menghubungkan penduduk kampung berkenaan dengan Kampung Wang Tepus, Kubang Pasu.

Seorang penduduk, Md Isa Puteh, 69, berkata pelbagai aduan telah lama dibuat namun sehingga kini tiada usaha daripada kerajaan untuk membina jambatan baharu.

"Jambatan ini sudah lama bergoyang dan ada bahagian yang telah reput. Memang tak selamat terutama bagi pelajar sekolah yang hari-hari guna jambatan ini.

"Penduduk memang risau dan berharap pihak kerajaan peka untuk membantu," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, jambatan ini laluan yang cepat dan mudah berhubung dengan kampung dan kawasan lain.

"Ada satu lagi jalan lain tetapi sangat gelap, sempit dan jauh iaitu kira-kira 5 kilometer (km) untuk sampai ke Padang Terap sebelum terpaksa patah balik ke Kubang Pasu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Kampung Empa melalui jambatan besi yang uzur di kampung mereka.
Penduduk Kampung Empa melalui jambatan besi yang uzur di kampung mereka.

Seorang pengetua sebuah sekolah, Rusma Abu Hassan, 54, berkata, tahun lalu pihak berwajib telah memasang papan tanda di hadapan jambatan yang tidak membenarkan sebarang kenderaan melalui jambatan berkenaan selain motosikal.

"Disebabkan tiada pilihan, penduduk terpaksa menurunkan papan tanda berkenaan dan bergotong-royong memateri bahagian jambatan yang rosak.

"Saya harap pihak yang berkaitan bekerjasama untuk menaik taraf jambatan ini biarpun ia berada di sempadan antara Pokok Sena dan Kubang Pasu," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada pejabat daerah Pokok Sena untuk meneliti keadaan sebenar yang berlaku di jambatan terbabit.

Katanya, sekiranya perlu dibaiki mereka akan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan ataupun menggunakan bajet kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah terbabit.