Saya tidak dedahkan mesej siasatan 1MDB: Saksi

A
A

KUALA LUMPUR - Penganalisis digital dari Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan membocorkan transkrip mesej BlackBerry berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirampas daripada Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu kepada akhbar perniagaan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Wall Street Journal.

Suzairizman Shuib, 40, disoal oleh peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh semasa pemeriksaan balas selepas beberapa siri artikel diterbitkan dalam akhbar itu pada tahun 2015.

“Kebocoran mesej WhatsApp atau Blackberry Messenger (BBM) bukan daripada saya,” katanya dan menambah beliau memberikan salinan transkrip itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Harvinderjit: Anda berkata hanya anda dan SPRM memiliki transkrip itu, adakah anda mengatakan kebocoran itu bukan daripada pihak anda?

Suzairizman: Yang pasti bukan daripada saya.

Saksi ke-46 pendakwaan itu bertugas di bahagian forensik digital di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, BNM.

Terdahulu, Harvinderjit mempersoalkan kaedah yang digunakan saksi untuk mengekstrak maklumat daripada alat digital yang disita daripada Joanna dan dua lagi Pengurus Perhubungan Ambank, Krystle Yap dan Daniel Lee.

“Sekiranya kita tidak dapat menentukan kandungan transkrip, lebih baik menggunakan Notepad memandangkan ia merupakan aplikasi yang paling selamat seperti yang saya katakan di dalam laporan saya, bagi membolehkan saya menganalisisnya, saya harus formatkan agar mudah dibaca,” katanya.

Bagaimanapun, saksi berkata sebahagian daripada kenalan dibiarkan kosong kerana ia tidak dapat dipadankan, kerana ia tidak disimpan di dalam senarai kenalan.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 15 Julai.- Bernama