Abim bimbang kenyataan PM timbulkan persepsi tak tepat

Mohamad Raimi Abdul Rahim
Mohamad Raimi Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melahirkan kebimbangan ke atas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa sekolah kebangsaan kini telah berubah menjadi sekolah agama.

Presidennya, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata pihaknya memandang serius dakwaan tersebut di mana Tun Mahathir turut menyatakan pelajar hanya belajar tentang agama Islam dan menyebabkan pelajar tidak menguasai mata pelajaran yang berguna untuk mendapatkan pekerjaan.

“Abim bimbang kenyataan tersebut akan menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.

“ABIM bersetuju dengan keperluan kajian semula kurikulum yang mana perlu mengambil kira perubahan di peringkat global seperti penguasaan kemahiran tertentu dalam menghadapi Revolusi Perindustrian keempat.

“Walau bagaimanapun, meletakkan asas bahawa sekolah kebangsaan telah bertukar menjadi sekolah agama adalah amat mengelirukan dan telah meletakkan rasa prejudis terhadap pendidikan yang berkaitan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Tun Mahathir ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) 2018, beliau menyebut kurikulum di sekolah perlu memberi penekanan untuk menguasai mata pelajaran yang boleh menghasilkan graduan berkualiti dan tidak memberi tumpuan semata-mata kepada mata pelajaran agama.

Mengulas lanjut, Mohamad Raimi berkata dalam setahun, hanya 13 peratus masa diperuntukkan untuk mata pelajaran Pendidikan Islam iaitu 96 jam setahun daripada 752 jam bagi keseluruhan mata pelajaran.

“Murid sekolah kebangsaan (SK) menggunakan 160 jam setahun untuk mempelajari Bahasa Inggeris iaitu 22 peratus daripada keseluruhan mata pelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Manakala murid sekolah jenis kebangsaan (SJK) menggunakan 80 jam setahun iaitu 11 peratus daripada keseluruhan mata pelajaran,” jelasnya.

Menurutnya, pendekatan pedagogi merentas kurikulum perlu diperkemaskan bukannya membezakan mata pelajaran tersebut.

“Kerana ia memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran yang dinilai tinggi dalam sektor pekerjaan seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal, berkolaboratif, penyelesaian masalah secara kompleks, mengurus emosi, bersosial dan sebagainya.

“Pembinaan watak dan kemahiran ini menuntut kepada hikmah dan penerapan nilai-nilai yang selari dengan pendidikan Islam yang sifatnya universal,” katanya.