Laporan ‘kehilangan’ wang GST dibentang minggu depan

Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Noraini Ahmad di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Noraini Ahmad di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Berjumlah RM19.4 bilion akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 16 Julai ini.

Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad berkata laporan tersebut sudah dimuktamadkan secara sebulat suara oleh 13 ahli PAC hari ini dalam Mesyuarat Verifikasi Laporan PAC Parlimen.

“Saya bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana semua ahli-ahli PAC Parlimen sama ada daripada pihak Kerajaan dan pembangkang dapat mencapai keputusan sebulat suara dalam menyiapkan laporan ini khususnya, untuk perkara rumusan dan syor berhubung tuntutan tunggakan GST berjumlah RM19.4 bilion.

“Saya perlu akui bahawa ia adalah satu prosiding yang lama apabila PAC Parlimen mengambil masa selama 11 bulan bermula 15 Ogos 2018 untuk menyiapkan laporan ini dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi termasuk mantan Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, mantan Menteri Kewangan II, mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan Akauntan Negara,” memetik kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Malah, PAC Parlimen juga mendapat taklimat daripada Jabatan Audit Negara (JAN) sebanyak tiga kali serta mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara selain mengadakan mesyuarat penyediaan laporan tersebut sebanyak empat kali.

Noraini berkata, bilangan mesyuarat itu cukup membuktikan bahawa PAC Parlimen mahu memastikan siasatan diadakan daripada setiap aspek dalam mencari kebenaran dan keadilan berhubung isu ini demi kepentingan negara dan rakyat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Mantan Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang memulakan siasatan serta prosiding dengan meletakkan asas kepada PAC Parlimen dalam mengadakan siasatan dan prosiding terhadap isu ini,” tambahnya.

Pada masa sama, Noraini akui, dalam menyediakan laporan tersebut, PAC Parlimen turut mendapat input daripada tujuh kementerian dan jabatan iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Akauntan Negara.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, laporan tersebut amat komprehensif dan input, pandangan serta maklum balas daripada ketujuh-tujuh kementerian dan jabatan yang bertindak sebagai exofficio PAC Parlimen amat penting dalam memastikan segala maklumat, rumusan serta syor dalam laporan tidak menyebelahi mana-mana pihak serta berasaskan fakta yang sahih dan tepat.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan tersebut dengan memuat turunnya daripada laman web PAC Parlimen di alamat www.parlimen.gov.my/pac pada hari yang sama ia dibentangkan.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, mendakwa kerajaan BN ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Guan Eng sekali lagi membangkitkannya di Dewan Rakyat pada keesokan harinya dan dilaporkan berkata, audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati RM18 bilion ‘hilang’ dari tabung bayaran balik GST.

Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan daripada jumlah tunggakan itu, sebanyak RM9.2 bilion atau 47 peratus adalah bagi tahun ini; RM6.8 bilion (35 peratus) 2017; RM2.8 bilion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.