Kertas Putih Kesihatan dibentang Jun depan

Orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Kertas Putih Kesihatan untuk berkongsi pandangan dan memberi input terhadap Kertas Putih Kesihatan.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Kertas Putih Kesihatan untuk berkongsi pandangan dan memberi input terhadap Kertas Putih Kesihatan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kertas Putih Kesihatan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Jun depan bagi mendapatkan penerimaan dan persetujuan dwi-partisan terhadap halatuju reformasi sistem kesihatan negara.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, dokumen Kertas Putih Kesihatan akan dihebahkan kepada umum setelah dipersetujui di Parlimen kelak menerusi pelbagai platform.

Menurut kementerian itu, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Kertas Putih Kesihatan untuk berkongsi pandangan dan memberi input terhadap Kertas Putih Kesihatan serta mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dokumen tersebut.

"Pelan mereformasikan sistem kesihatan negara ini akan dilaksanakan secara berfasa merangkumi tempoh 15 tahun," kata kementerian itu menerusi kenyataan pada Jumaat.

Antara manfaat atau impak reformasi kesihatan kepada rakyat adalah pelan kesihatan yang berpaksikan individu yang berdasarkan keperluan kesihatan atau perubatan setiap individu, rawatan dari doktor dan pasukan kesihatan yang sama setiap kali diperlukan, bimbingan dan tunjuk ajar daripada pasukan kesihatan, komuniti yang terlatih supaya kekal sihat, perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dengan harga dan masa menunggu yang berpatutan dan mengakses rekod perubatan peribadi secara atas talian dan juga boleh diakses oleh hospital dan klinik di seluruh negara bagi tujuan rawatan.

Kertas Putih Kesihatan amat penting dalam usaha mengukuhkan sistem kesihatan dan tadbir urus kesihatan negara dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara sihat, sistem kesihatan yang dihargai dan dibanggakan oleh rakyat.

Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan adalah bermatlamatkan ke arah satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif agar rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Selain itu, menerusi Kertas Putih Kesihatan dicadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang bebas dan berkecuali untuk memantau dan memastikan pelaksanaan reformasi kesihatan yang efektif.