Gudang jadi transit rokok seludup diserbu

Mohd Rakbi (tiga, kiri) bersama pegawai dan anggota JKDM menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Mohd Rakbi (tiga, kiri) bersama pegawai dan anggota JKDM menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

TUMPAT - Kegiatan penyeludupan rokok putih terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyerbu sebuah gudang di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Serbuan pasukan operasi JKDM Kelantan pada jam 7.30 petang Sabtu lalu turut menahan pemilik gudang terbabit bagi membantu siasatan manakala 9,450 karton rokok putih bernilai RM151,200 dirampas.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Rakbi Mat Daud berkata, gudang itu dijadikan transit sebelum rokok seludup diedarkan di pasaran tempatan.

"Serbuan dilakukan susulan maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di gudang terbabit.

"Dalam serbuan itu, pihak kami menemui 9,450 karton rokok bernilai RM151,200 dengan cukai terlibat sebanyak RM1,004,724 dan keseluruhan bernilai RM1,155,924.

"Ini merupakan rampasan terbesar tahun ini yang berjaya dipatahkan pasukan operasi JKDM Kelantan selepas kejayaan pada 21 Jun lalu," katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Menurutnya, dia percaya kegiatan penyeludupan ini melalui jalan laut dan gudang terbabit dijadikan stor penyimpanan sementara yang beroperasi hampir setahun.

Katanya, modus operandi penyeludup memasukkan rokok seludup di dalam kotak kosong (tiada jenama) semasa diedarkan di pasaran bagi mengaburi pihak penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami giat mengesan penyewa gudang terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.