MPK sasar jadi bandar indah, bersih, cemerlang

 Datuk Mohamad Yasid Bidin
Datuk Mohamad Yasid Bidin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Klang menyasarkan untuk menjadi sebuah bandar yang bersih, indah dan cemerlang sekali gus berusaha mengekalkan mutu perkhidmatan yang diberikan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sasaran berkenaan dapat dicapai dengan mutu perkhidmatan yang terbaik diberikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sehingga memperoleh penarafan lima bintang dalam sijil penarafan bintang yang dijalankan.

"Sebenarnya ini adalah kali kedua MPK mendapat lima bintang, kali ini kita dapat lima bintang dengan markah 91 peratus dan kali ini kita mendapat markah 96 peratus.

"Sekali gus apa yang diterima oleh MPK ini merupakan hasil komitmen daripada kakitangan yang amat tinggi di mana kita dapat memastikan kita berjaya memberikan perkhidmatan mengikut taraf lima bintang yang dihajatkan oleh masyarakat," katanya selepas Majlis Penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Beliau berkata, fokus MPK ketika ini adalah mengatasi pelbagai perkara dan isu negatif seperti pembuangan sampah, kilang haram dan sebagainya.

"Kita kena cari formula dan tangani masalah yang ada di kawasan ini satu persatu dan masa sama tidak boleh menganggap pentadbiran dalaman telah kukuh tanpa menyelesaikan perkara luar.

"Antara langkah yang diambil oleh MPK ketika ini terutamanya berkaitan kilang yang beroperasi tanpa lesen, kita mewujudkan unit pemeriksaan lesen pengilang-pengilang untuk memastikan pengilang sentiasa mematuhi peraturan yang ada," katanya.

Terdahulu, kesemua Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) mendapat lima bintang bagi penilaian Sistem Penarafan Bintang (SPB-PBT).

Artikel Berkaitan: