Ekonomi Pahang semakin berkembang

- Foto www.visit-malaysia.com/pahang-tours
- Foto www.visit-malaysia.com/pahang-tours
A
A
A

BARU-baru ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya sempena Majlis Perutusan Menteri Besar Kepada Penjawat Awam Negeri Pahang melontarkan keyakinan dengan sasaran hasil tahunan kerajaan negeri akan mencecah RM1 bilion dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Perkembangan itu sudah tentu diikuti rapat pelbagai pihak yang sebelum ini memandang rendah keupayaan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Wan Rosdy dalam memperkasakan ekonomi negeri.

Ternyata ‘badi’ hutang kerajaan negeri RM3.2 bilion yang sebelum ini menjadi ’senjata’ pihak tertentu menghentam kewibawaan kerajaan BN mengurus ekonomi negeri seperti tidak memberi kesan kepada pentadbiran Wan Rosdy.

Sebaliknya, beliau terus bersikap realistik dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam memacu pentadbiran dan ekonomi negeri ke tahap yang lebih baik.

Selepas setahun di bawah pentadbiran beliau, Pahang dilihat berada pada landasan ekonomi yang mampu berkembang di samping usaha mengurangkan beban hutang.

Jika dilihat sasaran RM1 bilion hasil tahunan kerajaan negeri dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, angka itu dilihat realistik berdasarkan kemampuan dan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

Wan Rosdy sendiri ada berkongsi prestasi ekonomi negeri dengan peningkatan hasil lebih RM65 juta sehingga Mei tahun ini dengan jumlah kutipan RM265,546,428 berbanding RM200,416,966 dalam tempoh sama tahun lalu.

Jika dilihat kepada hasil kutipan yang beliau kongsi melalui Facebook rasminya, secara keseluruhannya semua cabang hasil kerajaan menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima bulan tahun ini di mana hasil tanah mencecah lebih RM185 juta berbanding lebih RM137 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia diikuti hasil hutan RM33.3 juta (RM32 juta pada 2018), hasil air RM1.09 juta (RM0.51 juta pada 2018) dan lain-lain hasil RM33 juta (RM18.4 juta pada 2018).

Walaupun berstatus negeri pembangkang, Pahang nampaknya masih mampu merencana agenda pembangunan demi faedah rakyat walaupun pernah digambarkan negeri ini akan muflis ekoran situasi hutang yang tinggi.Isu hutang reda

Kita dapat lihat kebijaksanaan kerajaan negeri apabila mengambil langkah awal menjawab segala dakwaan dan andaian berhubung isu hutang itu sejelas-jelasnya supaya ia tidak mengganggu agenda rancangan pembangunan negeri seterusnya.

Maka dengan penjelasan yang diberikan, kebimbangan rakyat reda apabila mendapat tahu hutang yang tinggi itu sebenarnya bukan disebabkan ketidakcekapan kerajaan atau hutang untuk ‘berfoya-foya’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Rupa-rupanya hutang RM3.2 bilion itu termasuk yang disumbangkan daripada pinjaman kerajaan Pusat berjumlah RM2.2 bilion untuk melaksanakan projek bekalan air.

Pada masa sama, hutang daripada kerajaan Persekutuan itu sebenarnya bagi tujuan projek perumahan awam kos rendah (PAKR), penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2012 dan bantuan bencana banjir.

Pendekatan kerajaan negeri yang terbuka dengan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Pusat dilihat antara mekanisme dalam mewujudkan situasi menang-menang demi faedah rakyat.

Ternyata, ia satu pendekatan yang holistik dan berkesan kerana biarpun berbeza agenda politik, matlamat kerajaan negeri mahupun pusat tetap menjurus kepada kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, usaha kerajaan negeri untuk menstruktur semula kesemua 45 anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) supaya lebih produktif antara langkah dalam meningkatkan hasil kerajaan.

Langkah proaktif kerajaan negeri mengutip tunggakan hasil termasuk cukai taksiran dan tunggakan sewa PAKR melalui tindakan penguatkuasaan juga dilihat sebagai satu usaha bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, Negeri Pahang yang makmur dan kaya dengan hasil buminya ini mampu memanfaatkan kekayaan itu sekiranya ia diurus dengan baik tanpa berlaku ketirisan akibat ketidakcekapan dan salah laku rasuah dan sebagainya.

*Nik Amirulmu’Min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang