'Aisyah rindu nak jumpa ibu lagi'

Aisyah (tengah) berbual mesra bersama Pengerusi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan, Pui Tiong Lam (kiri) dan Nor Asidah (kanan) ketika dibawa bermain di Ocean Playground dan menikmati makanan segera di situ.
Aisyah (tengah) berbual mesra bersama Pengerusi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan, Pui Tiong Lam (kiri) dan Nor Asidah (kanan) ketika dibawa bermain di Ocean Playground dan menikmati makanan segera di situ.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang anak selain dapat bertemu dan tinggal bersama ibunya setiap masa.

Namun, keadaan itu berbeza bagi Aisyah, 6, (bukan nama sebenar) yang terpaksa tinggal di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Kota Bharu selama dua tahun atas perintah mahkamah.

Aisyah ialah antara kanak-kanak ditempatkan di RKK berikutan keluarga tidak mampu menjaga mereka disebabkan kes jenayah dihadapi ibu bapa atau penjaga mereka.

"Ibu dalam penjara sebab kena tangkap mencuri di rumah orang. Masa tu ibu bawa Aisyah sekali. Aisyah ada jumpa ibu di penjara, Aisyah cakap nanti Aisyah akan masuk sekolah darjah satu.

“Aisyah rindu nak jumpa ibu lagi. Ibu kata nanti dia keluar dia akan ambil Aisyah di sini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Seorang lagi penghuni, Fatimah, 13, (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak pernah mengenali ibu bapanya walaupun pernah terdetik di hatinya untuk bertemu mereka.

“Saya pernah rasa nak jumpa keluarga tetapi saya tak tahu mereka di mana. Kalau ada program di sekolah penjaga akan hadir mewakili ibu bapa.

“Walaupun begitu saya bersyukur kerana di sini ramai kawan senasib dan kami gembira apabila dibawa makan di luar ketika bulan puasa dan hari raya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengetua RKK Mini Kota Bharu, Nor Asidah Husin yang lebih dikenali sebagai mama berkata, RKK itu mempunyai 25 penghuni berusia dari setahun setengah hingga 18 tahun.

Menurutnya, kebanyakan kes yang dibawa kepada mereka melibatkan kes penderaan mental dan fizikal serta pengabaian keluarga.

“Ada mangsa dera, ada juga diabaikan oleh keluarga yang kebanyakannya terlibat dengan jenayah dan dadah. Pernah ada kes kita beri kanak-kanak ini pulang bersama nenek mereka tetapi nenek mereka membiarkan anaknya (ibu kanak-kanak itu) membawa cucunya pulang ke rumah.

“Kanak-kanak itu hampir dirogol kenalan ibunya yang dibawa pulang bersama. Bila balik ke RKK kanak-kanak itu jadi murung. Mujurlah anak itu tidak sempat diapa-apakan tetapi trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Nor Asidah berkata, RKK itu hanya menempatkan kanak-kanak perempuan, manakala kanak-kanak lelaki dihantar ke tempat lain seperti Rumah Kanak Kanak Sultanah Hajah Kalsom, Penor dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang yang mempunyai kapasiti lebih besar.