Penganjuran GCF 2019 dijangka tarik minat pemimpin perniagaan

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong (lima dari kanan) dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra yang juga merupakan Pengerusi Majlis GCF, Datuk Dr Vinod Sekhar (empat dari kanan) bergambar bersama penaja GCF 2019 di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong (lima dari kanan) dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra yang juga merupakan Pengerusi Majlis GCF, Datuk Dr Vinod Sekhar (empat dari kanan) bergambar bersama penaja GCF 2019 di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menganjurkan Good Capitalism Forum 2019 (GCF 2019) yang bertujuan memupuk dan menerapkan agenda kapitalisme sosial dalam kalangan ahli perniagaan.

Forum selama tiga hari yang akan bermula 4 hingga 6 Disember 2019 di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur itu dijangka disertai kira-kira 600 jemputan dari dalam dan luar negara.

Antara delegasi yang dijangka hadir terdiri daripada pemimpin ekonomi, politik dan intelektual yang paling berpengaruh dan berkuasa di dunia termasuk selebriti antarabangsa.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, sudah sampai masa untuk ahli perniagaan memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat.

Katanya, isu-isu sosial seperti pembasmian kemiskinan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan akan menjadi lebih berkesan menerusi kolaborasi antara sektor awam dan swasta.

"Komuniti perniagaan tempatan perlu teruja dengan forum ini kerana ia sudah menarik minat daripada tokoh-tokoh penting di seluruh dunia.

"Dengan memastikan penciptaan kekayaan dan pembangunan ekonomi yang lestari sahaja akan memberikan keadilan dan ia akan mewujudkan pekerjaan yang adil dan ekonomi yang positif dan akan memastikan kitaran yang mampan.

"Masyarakat dan perniagaan tidak lagi boleh dipisahkan. Ia mesti bekerjasama sebagai simbiosis," katanya ketika berucap pada Sidang Akhbar GCF 2019 di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

GCF 2019 ialah mengenai kefahaman dan penyebaran tentang idea kapatalisme sosial iaitu menjana kewangan dan memastikan pembangunan masyarakat ialah sebahagian daripada proses.

Ia juga bertujuan untuk menggalakkan perdebatan mengenai peralihan paradigma yang diperlukan dalam ekonomi global, perniagaan dan kemajuan sosial.

Forum tersebut merupakan kerjasama dengan University Nottingham termasuk beberapa rakan strategik termasuk Sinar Harian sebagai rakan media.

Antara yang dijangka hadir ialah bekas Pemimpin House of Lords dan Timbalan Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Baroness Valerie Amos.

Selain itu, bekas Pesuruhjaya Perdagangan Kesatuan Eropah, Lord Peter Mandelson; dermawan dan jutawan Hong Kong yang juga Pengerusi Kumpulan Hang Lung, Ronnie Chan serta Pengerusi Majlis Pelaburan dan Perniagaan Komanwel, Lord Jonathan Marland.

Turut dijangka hadir Pengarah Urusan dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Forum selama tiga hari ini ditaja oleh Diginex Asia, Kumpulan Green Rubber, New York Times, Universiti Nottingham, BMW, Majlis Pelaburan dan Perniagaan Komanwel, Mandarin Oriental Kuala Lumpur dan Sinar Harian.

Dalam pada itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra yang juga merupakan Pengerusi Majlis GCF, Datuk Dr Vinod Sekhar berkata, pemimpin perniagaan tidak boleh lagi berada di belakang sebaliknya melakukan sesuatu kepada masyarakat.

"Dunia yang kelihatan agak gila, di mana kita mempunyai penyebaran wabak serentak dengan kelaparan dan obesiti, pemimpin perniagaan kita tidak lagi boleh mengambil tempat duduk belakang

"Kita tidak boleh bertindak lagi dalam kepentingan ekonomi jangka pendek untuk syarikat-syarikat kita sendiri, seperti di Malaysia di mana banyak syarikat di bawah pentadbiran sebelumnya telah melakukan.

"Kita perlu menggariskan apa yang betul, untuk apa yang bermanfaat. Kita mesti terlibat dalam pembangunan masyarakat, kita mesti menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

"Kita mesti berhenti bermain dam dan mula bermain catur dan itu akan memastikan kejayaan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang kita.

"Dengan melakukan itu, kita akan memastikan masyarakat dan masyarakat kita bekerja dan berkembang juga," ujar beliau.