Perak masih pengeluar durian kampung tertinggi

Dari kiri: Mohamad Fariz, Abdul Yunus dan Nor Sam menunjukkan hasil durian dari Beringin Fruit Valley Kampung Dendang, Beruas, ketika lawatan mereka di sini, hari ini.
Dari kiri: Mohamad Fariz, Abdul Yunus dan Nor Sam menunjukkan hasil durian dari Beringin Fruit Valley Kampung Dendang, Beruas, ketika lawatan mereka di sini, hari ini.
A
A
A

BERUAS - Jabatan Pertanian Perak menjangkakan hasil pengeluaran durian di negeri ini bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus pada tahun ini daripada 29, 659 tan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Nor Sam Alwi berkata, Perak merupakan negeri ketiga pengeluar durian di negara ini melibatkan keluasan tanaman durian seluas 4,936 hektar.

"Pengeluar durian paling banyak di negeri ini adalah daerah Larut Matang dan Selama (LMS) membabitkan keluasan 2,600 hektar yang menyumbangkan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.

"Kerana itu kami menjangkakan pengeluaran durian bagi tahun ini akan bertambah 10 peratus berbanding tahun lalu kerana berlakunya kemarau yang menyebabkan hasilnya sedikit berkurangan," katanya kepada pemberita pada Sidang media musim durian Perak di Beringin Fruit Valley Kampung Dendang, Beruas, di sini, hari ini.

Turut hadir pada program berkenaan Exco Kemudahan Awam, Infrastrukur, Pertanian dan Perladangan Negeri, Abdul Yunus Jamhari bersama Pegawai Daerah Manjung Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Menurut Nor Sam Perak merupakan negeri pengeluar hasil durian kampung terbesar di negara ini walaupun hasil pengeluaran durian terbanyak di monopoli Pahang dan diikuti Johor yang mempunyai lebih banyak pilihan durian.

Tambahnya, selain kluster tanaman durian di Batu Kurau, Hulu Perak, Gerik dan Lenggong pihaknya sudah mengenal pasti kawasan berpotensi di daerah Manjung iaitu di Lembah Beringin, Kampung Dendang Beruas untuk dibangunkan.

"Di Manjung ini kita sudah mengenalpasti kawasan berpotensi untuk dibangunkan sebagai kluster durian bagi menampung permintaan serta meningkatkan pengeluaran buah berkenaan dan 35 pesertanya juga menunjukkan komitmen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, kawasan dusun di Kampung Dendang, Beruas yang berkeluasan 25.7 hektar itu mempunyai potensi besar sebagai kawasan pengeluaran durian di negeri ini selain kawasan sedia ada.

"Bukan sahaja durian di sini juga ada buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, dokong, manggis dan cempedak dan ia mempunyai potensi besar selain turut berhampiran dengan jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang melalui kawasan Beruas," katanya.