Durian kampung gugur musim panas


Abdul Hadir menunjukkan durian kampung yang sudah mula gugur di dusunnya di Pekan Nanas.
Abdul Hadir menunjukkan durian kampung yang sudah mula gugur di dusunnya di Pekan Nanas.
A
A
A

PONTIAN - Pekebun durian di daerah ini bertuah apabila pokok durian jenis kampung kini mengeluarkan hasil meskipun pada musim panas.

Pekebun, Abd Hadi Ahmad Sani berkata, durian di kebunnya di Kampung Sawah Pekan Nanas mula gugur sejak minggu lalu dan jumlahnya kini semakin banyak.

Jelasnya, setiap hari antara 100 hingga 200 kilogram (kg) raja buah itu dapat dikumpul dan dijual kepada pelanggan yang datang ke dusunnya.

"Saya juga risau jika pengeluaran durian akan terjejas ketika musim panas, tetapi hujan sesekali pada sebelah petang sejak sebulan lalu membantu durian berbunga.

"Keadaan itu menyebabkan pengeluaran durian di dusun seluas 22.5 hektar di kaki Gunung Pulai tidak terjejas.



"Sekarang ini durian kampung sudah gugur. Selepas ini, durian jenis lain pula akan gugur seperti IOI dan duri hitam," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Abdul Hadi yang sudah 27 tahun mengusahakan dusun durian menjangkakan harga raja buah itu akan turun pada hujung bulan ini.

"Sekarang ini pengeluaran buah durian sedikit kerana belum banyak yang gugur. Buah durian dijangka gugur khususnya di Johor pada minggu depan.

Pengunjung memilih untuk menikmati durian di dusun kerana lebih redup pada musim panas ketika ini.
Pengunjung memilih untuk menikmati durian di dusun kerana lebih redup pada musim panas ketika ini.

"Mungkin ketika itu, harga durian kampung cecah RM5 sekilogram berbanding RM8 hingga RM12 sekilogram kini," katanya.

Meskipun cuaca agak panas, namun pengunjung ke dusunnya tidak putus-putus, malah ada yang sudah membuat tempahan awal untuk makan durian di dusun bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Pengunjung bukan sahaja dari Johor Bahru tetapi ada juga dari Kuala Lumpur dan Singapura.

"Hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, bilangan pengunjung mencecah hampir 180 orang.

"Ada juga yang sudah tempah untuk makan durian pada bulan depan. Keadaan yang redup dan santai menyebabkan ramai tertarik untuk menikmati durian di dusun," katanya.

Pengunjung, Fahrul Mahmood, 36, daripada Pontian berkata, makan durian di dusun memberikan pengalaman berbeza dengan keadaan lebih redup ketika musim panas kini.

"Setiap kali musim durian saya bersama isteri dan anak ke sini untuk menikmati keenakan durian kampung. Cuaca tidak terlalu panas di dusun kerana banyak pokok dan keadaan redup.

"Lepas makan durian, kena minum air kosong yang banyak bagi mengelakkan panas dalam," katanya.

AFIQAH
AFIQAH

Bagi Afiqah Ali, 33, dari Iskandar Puteri yang mengakui dirinya 'hantu' durian berkata, durian ketika musim panas lebih manis.

"Tidak kisah walaupun musim panas tetapi hendak juga makan durian. Durian cukup istimewa sebab cuma setahun sekali gugur," katanya.