Dr Mahathir sambut hari lahir ke-94 esok

Gambar pertama dikongsikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di laman Instagram miliknya, Mac tahun lalu.
Gambar pertama dikongsikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di laman Instagram miliknya, Mac tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Negarawan ulung yang muncul sebagai Perdana Menteri tertua di dunia, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menyambut hari lahir yang ke-94 esok.

Sejak dipilih semula menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 10 Mei tahun lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Mahathir sangat disegani pemimpin negara dunia pertama, negara maju mahupun negara membangun.

Pada tahun lalu, Dr Mahathir menyifatkan ucapan selamat hari jadi yang diterima daripada rakyat adalah yang paling bermakna selepas kembali menerajui kepimpinan negara.

Beliau dilahirkan pada 10 Julai 1925 namun tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Ibu bapa Dr Mahathir ialah Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi dan beliau merupakan anak bongsu daripada sembilan orang adik-beradik.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkahwin dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada tahun 1956 dan mereka dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu selama 22 tahun.

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Artikel Berkaitan:

Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, Dr Mahathir muncul kembali di arena politik apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menentang kerajaan Barisan Nasional.

Pada tahun 2018, dalam satu kejutan politik yang tidak disangka-sangka, Bersatu dan parti-parti bersekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berjaya memenangi PRU14.