'Chef Wan kurang ajar dan biadab': Mohd Sharim

Chef Wan & Mohd Sharim
Chef Wan & Mohd Sharim
A
A
A

KUANTAN - “Ini adalah satu penghinaan yang terlampau dari seorang yang kononnya dianugerahkan sebagai Ikon Felda,” kata Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zain.

Menurutnya, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Chef Wan tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana Felda dibina atas keringat ayahanda bonda warga peneroka.

Katanya, cemuhan yang dikeluarkan chef selebriti itu disifatkan sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.

“Maaf Chef Wan, anda tidak layak menerima anugerah itu.

“Chef wan sebagai seorang anak peneroka tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat 'pukul rata' dengan melabelkan golongan peneroka sebagai pemalas,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sharim berkata, tukang masak terkenal itu sepatutnya membuka mata untuk melihat terdapat ramai lagi anak-anak Felda yang lebih berjaya berbanding dirinya.

"Dia memang kurang ajar dan biadab. Tidak sepatutnya sebagai anak peneroka dia bercakap begitu. Bukan semua orang jahat dan bukan semua tidak pandai menyimpan duit. Dia pun jangan anggap diri dia sahaja yang terbaik.

"Dia sendiri apa sumbangan kepada masyarakat Felda? Dia popular dari segi masakan tetapi adakah hasil usaha itu digunakan semula untuk membantu anak-anak Felda khususnya golongan belia Felda? Tidak ada.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah disebabkan dinobatkan sebagai Tokoh Ikon Felda, dia terus bermulut celupar dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh. Ramai lagi anak-anak Felda yang lebih berjaya,” katanya.

Mohd Sharim menegaskan kini lebih ramai anak-anak Felda yang berjaya dan menjawat jawatan tinggi dalam pelbagai sektor swasta mahupun kerajaan yang lebih layak menggalas tanggungjawab sebagai ikon.

"Kami tidak menerima dia sebagai ikon. Pelantikan itu tidak dimaklumkan dan sekiranya tahu, sudah tentu kami akan tolak kerana dia (Chef Wan) tidak layak,” katanya.

Semalam, Chef Wan menyifatkan golongan peneroka Felda bukan sahaja malas bekerja untuk memajukan tanah Felda, sebaliknya hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Beliau turut menyamakan golongan terbabit seperti kucing dan mendakwa warga Felda enggan untuk membantu diri-sendiri ke arah lebih baik.