Sultan Pahang tangguh perjalanan bantu mangsa kemalangan di Temerloh

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi memperlihatkan keprihatinan tinggi apabila baginda menangguhkan sebentar perjalanan bagi membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh pada Jumaat.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Al-Sultan Abdullah ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Semasa tiba di lokasi kejadian, baginda melihat kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.
"Bimbang dengan kecederaan yang dialami penunggang motosikal terbabit menyebabkan baginda menitahkan agar kereta polis pengiring membawa mangsa ke Hospital Temerloh dengan segera untuk mendapatkan rawatan,” menurut hantaran itu.
Sultan Pahang turut berkenan turun dari kenderaan untuk melihat serta bertanya sendiri situasi mangsa dan sebuah lagi kereta terlibat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuantan. - Bernama
Ringkasan AI
- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan sebentar perjalanan untuk membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1
- Kesultanan Pahang memaklumkan kejadian itu melalui laman Facebook
- Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta
- Sultan mengarahkan agar mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Temerloh segera
- Sultan turun dari kenderaan untuk melihat dan bertanya situasi mangsa sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
