Menu Begahak gulai tempoyak tular raih perhatian penggemar ikan sungai

Tangkap layar video menu ikan Begahak gulai tempoyak yang dikongsi pengguna Tiktok 'Aiman Padu' yang tular di platform media sosial itu.
Tangkap layar video menu ikan Begahak gulai tempoyak yang dikongsi pengguna Tiktok 'Aiman Padu' yang tular di platform media sosial itu.
A
A
A

KUANTAN – Menu masakan tradisional gulai tempoyak ikan Begahak tular di media sosial apabila video menu berkenaan yang dikatakan dijual di sebuah kedai makan di Kampung Ganding, Kuala Lipis meraih perhatian ramai terutama penggemar ikan sungai.

Hidangan berasaskan ikan air tawar dari Sungai Pahang yang dikongsi pemilik akaun Tiktok 'Aiman Padu' mencuri tumpuan bukan sahaja kerana keunikan rasanya, malah ikan begahak dikatakan sukar diperoleh menjadikan menu berkenaan semakin diburu pengemar masakan tradisi Pahang itu.

Berdasarkan video yang mendapat hampir 1,000 tanda suka itu, menu itu dikatakan ditawarkan pada harga yang agak tinggi malah kedengaran suara berseloroh 'hendak makan kena pakai kasut kulit, pakai selipar jepun, tak boleh,.

Gurauan itu mungkin bermaksud kerana harga yang agak tinggi mungkin mereka yang berkemampuan sahaja dapat menikmatinya.

Difahamkan peniaga yang dipanggil 'Makcik Senah' tidak menjual menu itu setiap hari sebaliknya bergantung kepada bekalan diterima dari nelayan sungai dan permintaan dari penggemar yang membuat tempahan.

Menu ikan begahak masak tempoyak.
Menu ikan begahak masak tempoyak.

Tinjauan reaksi netizen di ruangan komen video tular itu mendapati kebanyakan mereka mengakui gulai tempoyak ikan Begahak mempunyai rasa tersendiri dan sukar ditandingi oleh ikan air tawar lain.

Pemilik akaun Tiktok@Abdul Manaf berkongsi bahawa ikan begahak sedap dia punya lidah, orang yg biasa makan jer tau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu,@azmandaud pula berseloroh katanya gosok nk byr ni.rasa $38 /$40 seketul.dulu la.area pekan phg.

Ada juga yang menyifatkan menu tersebut sebagai identiti masakan orang Pahang yang perlu dipelihara, selain menjadi tarikan pelancongan makanan tempatan, khususnya kepada pengunjung luar negeri.

Kepopularan video berkenaan secara tidak langsung memperlihatkan bahawa masakan tradisional berasas ikan itu mendapat tempat di hati masyarakat.

Berdasarkan info dari Facebook Jejak Air Tawar, ikan Begahak atau nama saintifiknya Belodontichthys dinema digelar sebagai 'vampire' kerana giginya yang tajam,panjang,dan banyak.

Bentuk mulutnya yang seakan senyum,mata yang besar,dan giginya yang menggerunkan,memang sesuai dengan gelaran tersebut.

Ikan Begahak adalah pemangsa yang memburu ikan-ikan kecil berkumpulan berhampiran permukaan. Bentuk fizikal,kepala,sirip,dan mulutnya dicipta untuk sambaran ke permukaan

Ikan Begahak adalah salah satu spesies yang berada di dalam keluarga ikan Tapah (Wallagonia leerii) iaitu keluarga Siluridae,kerana itu badannya menyerupai ikan Tapah namun ada sedikit ciri-ciri khas yang berbeza.

Ringkasan AI

  • Menu gulai tempoyak ikan Begahak di Kampung Ganding, Kuala Lipis menjadi tular di media sosial
  • Ikan begahak berasal dari Sungai Pahang dan dikatakan sukar diperolehi
  • Menu ini ditawarkan pada harga tinggi dan tidak dijual setiap hari namun bergantung kepada bekalan dari nelayan
  • Gulai tempoyak ikan Begahak dianggap mempunyai rasa unik dan dijadikan identiti masakan Pahang
  • Ikan Begahak digelar 'vampire' kerana memiliki gigi yang tajam dan panjang serta ikan pemangsa di sungai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!