Polis Hong Kong berkas enam penunjuk perasaan

Salah seorang penunjuk perasaan bergelut dengan pihak berkuasa ketika protes di bandar raya Hong Kong semalam.
A
A

HONG KONG - Polis Hong Kong menahan enam penunjuk perasaan ketika protes di salah sebuah kawasan pelancongan popular di bandar raya itu semalam.

Jurucakap polis memaklumkan seorang individu diberkas ketika perarakan awam manakala penahanan lima lagi individu dibuat dalam kejadian berasingan.

“Protes awam itu bermula pada jam 3.30 petang (waktu tempatan) dari Salisbury Garden dan berakhir di kawasan lapang Wui Man Road di luar Stesen West Kowloon.

Demonstrasi itu diadakan secara aman, namun seorang ditangkap kerana gagal menunjukkan kad pengenalan.

“Lima lagi peserta protes ditahan kerana ingkar arahan polis walaupun diberi amaran beberapa kali,” ujarnya.

Terdahulu, ribuan penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi untuk meningkatkan kesedaran terhadap pengunjung dari Tanah Besar China tentang krisis politik yang sedang melanda Hong Kong.

Penganjur protes menganggarkan kira-kira 230,000 penunjuk perasaan berarak dari sekitar jalan di Kowloon menyeberangi pelabuhan dari daerah perniagaan pusat bandar raya terbabit di bawah siri bantahan terbaharu ke atas rang undang-undang ekstradisi kontroversi. - Agensi