Melaka pertimbang peruntukan RM10j atasi masalah banjir

Mohd Khalil dan Adly menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di SK Belimbing Dalam, Durian Tunggal hari ini.
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka bersedia mempertimbang untuk mendahulukan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi kos pembaikan segera tiga pintu Pintu Kawalan Air Barrage di Muara Sungai Melaka yang didakwa menjadi salah satu punca kejadian banjir berulang di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekerapan kejadian banjir kilat yang terpaksa ditanggung oleh rakyat terutama penduduk yang mendiami kawasan rendah.

Menurutnya, kini hanya satu daripada empat sistem pam di pintu kawalan berkenaan yang berfungsi, justeru, kerajaan ini sebelum ini sudah pun membuat permohonan peruntukan kepada kerajaan Pusat menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi kos membaik pulih.

"Bagaimanapun, kelulusan itu mengambil masa dan kerajaan negeri memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian dalam tempoh enam bulan dan mungkin mendahulukan kos pembaikan ketiga-tiga Pintu Kawalan Air Barrage di Muara Sungai Melaka.

Banjir kilat yang melanda sebahagian daripada kawasan di Melaka hari ini.
Banjir kilat yang melanda sebahagian daripada kawasan di Melaka hari ini.

"Sistem pam air yang ada kini hanya mampu mengepam 30 peratus sahaja lebihan air ke Sungai Melaka, jadi sebab itu, keutamaan kita untuk menyelesaikan isu Pintu Kawalan Air Barrage ini, walaupun peruntukannya agak besar tetapi kita akan cari jalan mendapatkan RM10 juta itu bagi kos membaik pulihnya," katanya.

Adly ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini hari ini.

Turut sama melakukan lawatan terhadap mangsa banjir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Adly berkata, walau bagaimanapun, pembaikan pintu kawalan air itu hanyalah sebahagian daripada usaha penyelesaian isu banjir manakala projek tebatan banjir yang melibatkan kos RM270 juta masih berada pada peringkat reka bentuk.

Jelasnya lagi, jumlah mangsa banjir yang tinggi turut disebabkan lokasi penempatan di kawasan-kawasan rendah dan pelaksanaan projek-projek pembangunan berhampiran.

"Kerajaan negeri juga akan menilai semula projek-projek pembangunan untuk mengawal kejadian banjir kilat ini agar tidak terus berulang.

"Kerajaan negeri juga sedang mengenalpasti kediaman-kediaman yang berada di kawasan rendah untuk dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai dengan mengggunakan mekanisme rumah peduli yang mula diperkenalkan di negeri ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia