18,000 pekerja Deutsche Bank bakal hilang pekerjaan

Deutsche Bank
Deutsche Bank
A
A
A

FRANKFURT - Institusi perbankan terbesar Jerman, Deutsche Bank semalam memaklumkan 18,000 pekerjanya bakal kehilangan pekerjaan menjelang tahun 2022 dalam usahanya melepaskan diri daripada cengkaman kegawatan selama bertahun-tahun.

Pengurangan jumlah pekerja kepada hanya 74,000 orang merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku bagi Deutsche Bank.

Bank berkenaan berkata, pemberhentian tersebut akan mengurangkan kos tahunan sebanyak 6 billion euro (RM27 bilion) untuk tempoh sama.

"Hari ini (semalam) kami mengumumkan transformasi paling penting bagi Deutsche Bank dalam tempoh beberapa dekad," kata Ketua Eksekutif Christian Sewing yang menggelar langkah terbabit sebagai 'permulaan semula untuk Deutsche Bank'.

Pusingan baharu pemberhentian kerja itu berlaku susulan pemecatan kira-kira 6,000 pekerja sepanjang tahun lalu.

Pelan penstrukturan semula itu diharap akan meningkat keputusan suku kedua bagi mengganti kerugian bersih berjumlah 2.8 bilion euro (RM13 bilion).

Deutsche Bank juga tidak merancang untuk membayar dividen pada tahun ini atau tahun hadapan.

Pelan penstrukturan semula itu dilihat sebagai peluang terakhir untuk Deutsche Bank selepas rundingan penggabungan dengan Commerzbank pada awal tahun ini gagal.

Artikel Berkaitan:

Rundingan tersebut gagal meski mendapat sokongan Kementerian Kewangan di Berlin yang bimbang pembiayaan ekonomi negara akan dibeli oleh pihak luar.

Dalam tempoh empat tahun yang lalu, modal pasaran Deutsche Bank jatuh sebanyak 75 peratus, menjadikannya sasaran pengambilalihan oleh firma yang lebih besar.

Deutsche Bank turut akan menghentikan semua aktiviti dagangan saham dan sedang berbincang dengan BNP Paribas Perancis untuk melepaskan beberapa perniagaan dan kakitangannya di lapangan.

Jumaat lalu, Ketua Unit Pelaburan Perbankan Deutsche Bank Afrika Selatan, Garth Ritchie diberhentikan ekoran kegagalan unit tersebut menjana keuntungan besar.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, Deutsche Bank dibelenggu skandal dan kes saman termasuk yang berkaitan dengan kes 'Panama Papers' di mana didakwa berlaku kebocoran dokumen sulit berhubung perjanjian luar pesisir.

Selain pemecatan, Deutsche Bank turut merombak semula organisasi dengan memecat Ketua Pegawai Komersial, Sylvie Matherat dan dua lagi eksekutif.

Ia turut akan mewujudkan 'bad bank' bagi mengendalikan aset kualiti rendah terutamanya yang berkaitan dengan transaksi derivatif. - AFP