Pelawaan Dr Mahathir seperti terpaksa

Wan Mahussin & Mohd Afizul
Wan Mahussin & Mohd Afizul
A
A
A

JELI- Pelawaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua parti politik Melayu bergabung mendapat pelbagai reaksi.

Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, pelawaan dan saranan Dr Mahathir dilihat seperti terpaksa apabila melihat kuasa dan peranan orang Melayu mula diperkotak katik oleh bangsa lain.

"Hal ini terjadi apabila Bersatu seolah gagal menjadi tunjang dan tulang belakang yang kuat dalam PH sehingga ada parti komponen mereka iaitu DAP, PKR dan Amanah tidak menganggap parti itu sebagai tunjang utama.

"Sebaliknya, saling berselisih pendapat dan tidak mampu mencari penyelesaian yang konkrit sehingga memaksa mereka 'u turn' termasuklah mempelawa UMNO menyertai Bersatu, sedangkan sebelum ini mereka mendakwa pemimpin UMNO terlibat dengan pelbagai skandal dan korupsi," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mahussin berkata, UMNO ditubuhkan supaya orang Melayu bersatu, bukan untuk menyertai Bersatu.

"UMNO sebuah parti keramat yang ditubuhkan atas dasar semangat nasionalisme untuk memperjuangkan bangsa Melayu daripada cengkaman penjajah," katanya.

"Pelawaan Dr Mahathir supaya pemimpin UMNO menyertai Bersatu tidak tepat kerana UMNO kini mempunyai 21,851 cawangan, 191 bahagian dan 3.64 juta ahli berbanding parti Bersatu sendiri, apatah lagi jika ingin mengharamkan parti keramat orang Melayu itu.

"Sekiranya Dr Mahathir terdesak dan dalam masa sama benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib bangsa Melayu, UMNO tidak boleh dihapuskan sebaliknya ajak UMNO dan Pas bersama dalam tampuk pemerintahan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, lebih-lebih lagi ketika UMNO dan Pas sedang berusaha ke arah penyatuan ummah dan sangat mendapat sokongan rakyat.

Gabungan ini sudah memadai bagi mengembalikan kuasa orang Melayu tanpa menyertai Bersatu. Saya sebagai rakyat lebih menyambut baik jika Bersatu, UMNO dan Pas dapat bersama dalam menegakkan kuasa Melayu tanpa menghapuskan parti UMNO yang mempunyai sejarah tersendiri sejak diawal penubuhannya.

Wan Mahussin berkata, UMNO tidak boleh dihapuskan sebaliknya diberi nafas baharu untuk mengemudi kedaulatan bangsa kerana ia sebuah parti Melayu yang kuat dan banyak berjasa kepada negara.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Jeli, Mohd Afizul Jaafar berkata, pelawaan Perdana Menteri agar parti politik Melayu berada di bawah satu naungan tidak perlu diragui kerana ia lebih ke arah memperkasakan orang Melayu dan memastikan kestabilan politik lebih terjamin.

"Saranan Dr Mahathir itu perlu dilihat dari sudut yang positif, parti Melayu adalah pemegang kuasa politik di negara ini tanpa meminggirkan kuasa (politik) bangsa lain.

"Jadi demi kepentingan rakyat, kuasa politik Melayu yang semakin berpecah ini perlulah diperkasakan semula. Tiada apa yang perlu diragui kerana sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir pasti mahu kestabilan politik yang lebih terjamin," katanya.

Mohd Afizul berkata, tambahan pula ia tidak bersifat autokratik malah hanya bersifat pelawaan sahaja.

"Dr Mahathir pastinya mahu pengganti beliau kelak sudah mempunyai kuasa politik yang stabil sekali gus memudahkan tugas memperbaiki ekonomi negara.

Tambahnya, persoalan sama ada ia dipersetujui parti lain atau sebaliknya, Mohd Afizul berkata, ia bergantung kepada sejauh mana mereka mahu iklim politik di negara ini dilihat.

"Rakyat sudah memilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, sebagai pemimpin di semua peringkat kita harus menyokong beliau dalam semua bentuk agenda untuk memperkasakan kepentingan rakyat," katanya.