Wanita meninggal dunia di Pasir Gudang kerana kegagalan jantung - Menteri Kesihatan

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang wanita yang meninggal dunia di Pasir Gudang, Johor bukan disebabkan oleh pencemaran udara sebaliknya berpunca daripada kegagalan jantung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, wanita berkenaan merupakan seorang penghidap penyakit kronik terutama penyakit darah tinggi selama 10 tahun.

Jelas beliau, wanita itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) pada 5 Julai lalu kerana mengalami gejala kesukaran bernafas dan batuk selama tiga hari, bengkak di bahagian kaki dan demam selama sehari.

"Arwah telah dimasukkan ke dalam wad, di mana pemeriksaan mendapati arwah berada dalam keadaan akut (acute) iaitu tekanan darah yang sangat tinggi serta kadar pernafasan yang tinggi (sesak nafas).

ARTIKEL BERKAITAN: Belum ada bukti kematian dikaitkan pencemaran toksik

"Pasukan perubatan yang merawat telah berusaha sedaya upaya memberikan rawatan kepada beliau, namun keadaan kesihatannya menjadi semakin serius dan telah meninggal dunia pada 6 Julai, jam 4.20 pagi dengan penyebab kematian sebagai Decompensated Heart Failure.

"Berdasarkan presentasi klinikal, gejala yang dialami serta hasil pemeriksaan dan ujian berkaitan telah menunjukkan arwah mengalami kegagalan jantung dan fungsi jantung yang merudum akibat masalah kesihatan yang kronik," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 6 Julai lalu, tular di media sosial apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Marini Kasman, 38, didakwa mengalami sesak nafas akibat pencemaran udara di Pasir Gudang sehingga mengobankan nyawa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, semakan laporan di HSIJB mendapati bahawa tiada rekod yang melaporkan wanita itu pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian di Sungai Kim Kim atau sejak 20 Jun lalu

"Pihak KKM mengucapkan takziah kepada suami serta ahli keluarga dan bersedia untuk berjumpa dengan ahli keluarga arwah bagi menerangkan semula penyebab kematian.

"Orang ramai, pihak media dan juga lain-lain pihak adalah dinasihatkan untuk menghormati perasaan keluarga arwah serta mengelak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau tidak benar," katanya. - Bernama