Belum ada bukti kematian dikaitkan pencemaran toksik

Lee Boon Chye
A
A

KAMPAR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui ada menerima laporan membabitkan kematian seorang wanita yang berasal dari Pasir Gudang, Johor namun, belum dapat disahkan kaitannya dengan insiden pencemaran toksik.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Jabatan Kesihatan Johor bagi mendapatkan butiran lengkap kes berkenaan.

“Siasatan perlu dibuat dan laporan itu penting bagi mengetahui butiran selanjutnya sama ada perkara ini ada kaitannya dengan pencemaran atau tidak. Setakat ini belum ada bukti yang boleh mengaitkannya.

“Oleh itu, kita menunggu laporan toksikologi dan keputusan akan diketahui dalam seminggu dua ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kampar River Festival di Dataran Kampung Jahang di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Marini Kasman, 38, penduduk dari Taman Cahaya Masai meninggal dunia semalam dipercayai akibat kekurangan oksigen dalam darah ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Kematian mangsa dipercayai ada kaitan dengan pencemaran yang berlaku di daerah itu.

Boon Chye berkata, pihaknya menasihatkan penduduk yang menghadapi masalah kesihatan untuk terus berhubung dengan pihak hospital atau klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

“Kita minta supaya mereka yang ada penyakit untuk terus berhubung dengan pihak kesihatan supaya siasatan boleh dilakukan dan rawatan yang sesuai dapat diberikan.

“Kami faham akan kebimbangan penduduk di sana. Kita menganggap masalah kesihatan di Pasir Gudang sebagai suatu yang serius,” katanya.