Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki lemas di Sidam Kiri. - Foto JBPM
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian kira-kira 12.28 tengah hari dekat Sidam Kiri hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kejadian dilaporkan berlaku semasa mangsa dikatakan sedang mandi di sungai belakang Masjid Sultan Abdul Halim, di sini.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 12.28 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus kemudian.

"Operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim dengan kekuatan anggota seramai 12 orang.

"Setibanya di tempat kejadian mendapati seorang lelaki beranggaran umur 30-an lemas di sungai namun identiti lengkap mangsa masih belum diperolehi," katanya.

Menurutnya, gerakan mencari dan menyelamat masih dijalankan.

"Kita turut mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air JBPM yang telah pun digerakkan ke lokasi kejadian bagi meneruskan operasi," katanya.