Tak malu rayu 'kekasih' dilepaskan

Antara wanita warga asing yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, tengah malam tadi.
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, tengah malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sanggup tebal muka merayu berharap 'kekasihnya' yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dapat dibebaskan selepas ditahan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, di sini, tengah malam tadi.

Namun, rayuan wanita tempatan berusia 23 tahun itu tidak diendahkan.

Selain itu, wanita terbabit yang juga pekerja pub di sini sanggup menaiki lori tahanan bersama kekasihnya itu untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields konon untuk menemani wanita terbabit.

Ketika ditanya, wanita berasal dari Kuala Selangor itu berkata, dia mula mengenali wanita warga Thailand itu sejak beberapa tahun lalu.

"Ketika itu kekasihnya datang ke Kuala Selangor dan kami mula berkenalan sebelum bercinta.

"Sejak itu kami sering berhubung, adakala saya akan ke sana (Thailand) bertemunya atau dia datang ke sini," katanya ketika ditemui di pusat hiburan tersebut.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, operasi Ops Noda di premis tidak berlesen itu dijalankan kira-kira jam 12.50 tengah malam dan berjaya menahan seramai 78 wanita warga asing disyaki GRO berusia 19 hingga 38 tahun bersama seorang lelaki tempatan merupakan penjaga premis.

"Pemeriksaan mendapati 72 adalah warga Thailand, Laos (5) dan seorang China.

"Pelbagai barang telah dirampas antaranya peralatan audio, resit jualan serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Operasi yang disertai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi turut memeriksa terhadap seramai 101 pelanggan termasuk dua wanita bagi proses dokumentasi.

Rusdi berkata, premis itu turut dilengkapi dengan pentas dipercayai untuk peragaan GRO berkenaan sebelum dipilih pelanggan sebagai teman minum dengan bayaran tip.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 6(1) Akta Imigresen, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen serta Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.