Perkebas kutuk pelaku bom ikan, gesa hukuman setimpal

Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Islam Sabah (Perkebas)
Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Islam Sabah (Perkebas)
A
A
A

LABUAN - Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Islam Sabah (Perkebas) hari ini mengecam pelaku bom ikan yang menyebabkan kematian seorang ahli pertubuhan itu dan dua pelancong warga China baru-baru ini dan meminta pelaku kesalahan tersebut dikenakan hukuman setimpal.

Pengerusinya Fariz Fadila berkata, isu bom ikan ini tidak lagi seharusnya berlaku dengan pertambahan agensi penguatkuasaan maritim.

"Bagi pihak Perkebas, kami mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa berikutan jenayah tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kejadian bom ikan ini adalah satu perkara tidak asing dan sering berlaku khususnya di daerah Semporna.

"Kejadian yang menyebabkan kehilangan nyawa ini tidak harus dibiarkan.

"Sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan lebih tegas lagi agar kejadian seperti itu tidak berulang yang menjejaskan reputasi sektor pelancongan negeri.

Fariz juga merayu kepada ahli-ahli pertubuhan itu dan dan warga Semporna agar bersama-sama dan berganding bahu untuk membanteras kegiatan ini dengan menjadi 'mata dan telinga' penguatkuasa agensi kerajaan.

"Jika hari ini anak orang lain atau ayah atau suami kepada orang yang menjadi mangsa bom ikan, kita tidak tahu, esok atau lusa mungkin keluarga kita pula yang akan menjadi mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tiga termasuk dua pelancong China maut ketika aktiviti menyelam dalam kejadian di Pulau Kulapuan, Semporna, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, seorang mangsa yang maut adalah penyelam bertauliah yang dikenali sebagai Zainal Abdun, 31, manakala dua lagi pelancong terbabit masih belum dapat dikenal pasti. - Bernama