'Insiden pelancong maut terkena bom ikan kes terpencil'

Muhammad Bakhtiar (tengah) pada sidang media hari ini.
Muhammad Bakhtiar (tengah) pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Orang ramai khususnya pelancong tidak perlu khuatir dengan keselamatan mereka berikutan insiden letupan bom ikan yang mengorbankan tiga penyelam termasuk dua warga China di perairan daerah Semporna, Sabah Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, kes berkenaan adalah terpencil kerana tidak kerap berlaku.

Menurutnya, agensi penguatkuasaan pastinya telah mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

"Saya kira kes ini telah pun berada dalam pengetahuan pihak berkuasa jadi biarlah penguatkuasaan dilakukan.

"Pelancong tidak perlu bimbang kerana bukan semua kawasan di sana mempunyai bom ikan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan insiden yang berlaku ketika ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti menyelam itu bakal memberi kesan kepada industri pelancongan di situ.

Muhammad Bakhtiar berkata, pihaknya meyakini Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengambil tindakan sewajarnya.

Kejadian sekitar jam 4 hingga 5 petang itu melibatkan tiga lelaki iaitu seorang penyelam profesional warga tempatan dan dua lagi merupakan pelancong asing.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal polis mendapati insiden tersebut ada kena mengena dengan kejadian bom ikan sehingga mengakibatkan kematian ketiga-tiga mangsa.

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar merasmikan Perak Tourism Business Opportunity Seminar di Hotel Syeun di sini yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajal terkena bom ikan