Pergolakan di Sudan: Dua warga Malaysia dibawa keluar

Zambry - Foto Bernama
Zambry - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua warga Malaysia berjaya dibawa keluar ke lokasi selamat di Khartoum, Sudan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dalam operasi itu, Malaysia turut membantu membawa keluar dua warga Kanada, dua warga United Kingdom dan seorang warga Amerika Syarikat dari kawasan berkenaan.

"Saya ingin memaklumkan bahawa walaupun operasi ini amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, tindakan itu diambil setelah membuat penilaian yang mendalam dan dengan mandat daripada Pasukan Khas Wisma Putra.

Ia susulan daripada laporan terkini pertempuran antara Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) semakin meruncing di kebanyakan lokasi di Khartoum sepanjang masa.

"Selain itu, operasi pemindahan berkenaan adalah sebagai langkah persediaan Kedutaan Besar kita mengumpul rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum kelak," katanya.

Beliau berkata, situasi di Sudan ketika ini amat kompleks dan berubah setiap masa dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

"Gencatan senjata yang telah diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amerika Syarikat langsung tidak dipatuhi mereka.

"Marilah kita memanjatkan doa dan memohon kepada Yang Maha Esa untuk menjaga dan melindungi keselamatan rakyat kita di Sudan dan operasi membawa mereka pulang ke tanah air," katanya.

Dalam pertempuran selama enam hari, sekurang-kurangnya 350 orang telah terbunuh dalam perebutan kuasa antara dua pemimpin junta tentera yang pernah bersekutu sebelum ini, ketua tentera Burhan dan ketua RSF, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang dikenali secara meluas sebagai Hemedti.

Konflik itu telah memusnahkan harapan untuk kemajuan ke arah demokrasi di Sudan, berisiko menarik di negara jirannya dan boleh memainkan persaingan serantau antara Rusia dan Amerika Syarikat.